SHAHIDAN Kassim. -FOTO NSTP
SHAHIDAN Kassim. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Olahraga Amatur Perlis (POAPs) Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mahu memulihkan kembali imej sukan olahraga negara dengan memastikan lebih banyak kejayaan dicapai di peringkat antarabangsa.

Shahidan berkata, ketika ini kepincangan pentadbiran badan induk olahraga negara itu menyebabkan banyak perkara 'tidak menjadi' termasuklah perancangan pembangunan membabitkan atlet terbantut.

Malah, beliau berkata, sukan olahraga negara sepatutnya menjadi lubuk emas buat kontinjen Malaysia namun sebaliknya berlaku apabila kurang pencapaian membanggakan dapat dilihat terutamanya membabitkan pentas Sukan Sea.

"Saya bukannya baru dalam olahraga ini dan sentiasa mengikuti rapat perkembangan sukan berkenaan yang menyaksikan prestasi atlet sejak kebelakangan ini agak merosot.

"Jika diikutkan sepatutnya Malaysia membawa pulang lapan pingat emas pada temasya Sukan Sea Hanoi di Vietnam baru-baru ini namun hanya mampu membawa pulang lima saja.

"Perkara utama yang perlu ditekankan adalah pembangunan atlet dengan memastikan mereka mampu meraih kejayaan di peringkat lebih tinggi," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, beliau dicalonkan oleh POAPs bagi merebut kerusi nombor satu KOM sekali gus mencabar penyandang ketika ini, Datuk SM Muthu yang turut mengesahkan akan mempertahankan jawatannya itu.

Mengikut rekod, Shahidan bukanlah asing buat KOM apabila pernah menerajui badan induk itu pada 2006 hingga 2012 tetapi terpaksa melepaskan jawatan berkenaan selepas tewas di tangan Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam pemilihan bagi penggal 2013-2015.

Muthu pula dipilih sebagai presiden baharu KOM bagi penggal 2019/2022 selepas menewaskan Datuk Karim Ibrahim yang juga penyandang jawatan ketika itu dengan kelebihan tiga undi.

Bekas atlet olahraga Selangor era 1990-an, Nurhayati Karim turut dicalonkan bagi merebut kerusi 'panas' berkenaan pada pemilihan kali ini tetapi difahamkan beliau akan menarik diri bagi memberi laluan kepada Shahidan namun belum ada pengumuman rasmi daripada KOM berhubung pencalonannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 1:25 PM