AKSI Fadhil hari ini. FOTO Ferzalfie Fauzi
AKSI Fadhil hari ini. FOTO Ferzalfie Fauzi
Ferzalfie Fauzi


Nilai: Selepas dua kali kecewa, Fadhil Zonis akhirnya berjaya menebus kehampaan dan mengekalkan gelaran 'Raja Kilo' selepas muncul juara dalam acara 1kilometer (km) Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan di Velodrom Nasional, hari ini.

Fadhil yang sebelum ini hanya berpuas hati dengan perak dalam acara keirin dan pecut, muncul juara selepas mencatat masa satu minit 02.719 saat (s), mengetepikan, Ridwan Sahrom dari Johor (1:03.885s).

Gangsa dalan acara kemenangan diraih pelumba Perak, Ahmad Safwan Ahmad Nazeri yang mencatat masa 1:03.917s.

Menurut Fadhil yang mewakili Selangor, dia berasa lega dapat mempertahankan gelaran yang diraihnya tahun lalu walaupun tidam dapat memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri.

"Saya tidak sangka dapat pertahan gelaran kerana di sebelah pagi saya berasa sedikit letih terutama selepas mengharungi dua perlumbaan sebelum ini. Bagaimanapun, sebaik melakukan sesi memanas badan saya dapat rasakan kembali mampu melakukan sesuatu.

"Sebaik bermula kayuhan memang saya tekad untuk lakukan terbaik dan catatan masa itu menunjukkan saya boleh muncul juara. Saya gembira dengan usaha saya hari ini dan pelumba-pelumba muda yang lain.

"Catatan mereka (pelumba muda) juga sangat laju walaupun ada pelumba tahap negeri kemampuan sudah capai seperti pelumba kebangsaan," kata Fadhil yang berusia 25 tahun itu.

Ditanya adakah kemenangan berkenaan mengubati kekecewaan selepas tumpas kepada Shah Firdaus Sahrom (keirin dan pecut), dia mengakui sedikit-sebanyak membuatkan dia berasa lega.

"Saya boleh berasa gembira sebab dua kali dah kalah, akhirnya menang juga hari ini," kata Fadhil yang memegang rekod kebangsaan 1:00.305s yang dilakukan di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Berlin 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 5:25 PM