MOHD FADHIL MOHD ZONIS
MOHD FADHIL MOHD ZONIS
Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain


JAKARTA: Juara dua pingat emas acara pecut Sukan SEA 2017, Mohd Fadhil Mohd Zonis mengakui dia sudah pulih sepenuhnya daripada masalah tonsil selain tidak berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan trek baharu di Velodrom Rawamangun bagi aksi Sukan Asia 2018 kali ini.

Mohd Fadhil akan menyertai acara pecut berpasukan bersama dua lagi pelumba negara iaitu Azizulhasni Awang dan Muhd Shah Firdaus Sahrom, Isnin ini.

Mereka diletakkan sebagai sandaran utama pingat buat kem berbasikal trek negara.

Mohd Fadhil selepas menjalani latihan awal di situ berkata, keadaan trek di Velodrom Rawamangun amat baik dan fokusnya kini adalah untuk melakukan yang terbaik selepas pulih daripada masalah tonsil.

Katanya, semua pelumba juga harus cepat menyesuaikan diri dengan keadaan trek baharu itu.

“Prestasi dan semangat saya juga berada di tahap tertinggi dan hanya menunggu masa untuk memulakan aksi pecut berpasukan Isnin ini.

“Persediaan untuk menghadapi Sukan Asia semuanya berjalan lancar dan keadaan basikal juga amat baik,” kata Mohd Fadhil.

Pada Sukan Asia 2014 di Incheon, skuad berbasikal trek negara meraih satu pingat perak menerusi Fatehah Mustapa dalam acara keirin wanita.

Malaysia turut membawa pulang satu gangsa menerusi Josiah Ng dalam saingan keirin lelaki pada edisi sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 7:33 PM