AZIZULHASNI menghadiahkan dua gangsa menerusi acara keirin dan pecut di Berlin.
AZIZULHASNI menghadiahkan dua gangsa menerusi acara keirin dan pecut di Berlin.
Aida Adilah Mat


PELABURAN Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terhadap sukan berbasikal menampakkan peningkatan positif dengan pencapaian memberangsangkan yang dicipta tiga pelumba negara di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di The Velodrom, Berlin, Jerman.

Pelumba nombor satu negara Azizulhasni Awang menghadiahkan dua gangsa menerusi acara keirin dan pecut, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut merekod catatan masa terbaik dalam acara pecut, 9.609 saat (s) selain berpeluang cerah ke temasya Olimpik Tokyo dan Muhammad Fadhil Zonis memadamkan rekod berusia 11 tahun untuk bergelar pemegang rekod kebangsaan dalam acara 1 kilometer ujian masa.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Wahab berkata, PKBM akan memberi kerjasama penuh kepada barisan pelumba trek negara dalam merealisasikan pingat emas pertama di temasya Olimpik dapat diterjemahkan Julai ini.

Malah gangsa acara pecut oleh Azizul membuka peluang buat dirinya menjadi atlet pertama negara meraih dua pingat di temasya terbesar dunia itu.

Bagaimanapun, fokus utama perlu diberikan dalam acara keirin yang menjadi keutamaan buat pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu.

“Seluruh negara mengharapkan Azizul dan saya yakin dia kini lebih berpengalaman dan cukup matang dalam setiap hal. Saya amat berpuas hati dengan pencapaian atlet negara terutamanya Azizul dalam acara pecut. Kita sudah lama tak menang dalam acara itu tapi Azizul dapat buktikan dia mampu lakukan selepas 11 tahun.

“Prestasi Azizul pula kini semakin meningkat dengan rekod baru yang berjaya diciptanya (9.548s) dan saya harap ia dapat dikekalkan hingga Olimpik,” katanya.

Jika pelumba Britain, Chris Hoy mampu untuk cemerlang dalam kedua-dua acara iaitu pecut dan keirin, mengapa tidak untuk Azizul melakukan perkara yang sama biarpun tampak tidak mudah kerana kedua-dua acara itu memerlukan kecekapan teknikal.

Terdahulu, sukan berbasikal menerima peruntukan paling tinggi oleh KBS dengan jumlah yang diperuntukkan RM8,378,654 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 6:01 AM