AZIZULHASNI AWANG
AZIZULHASNI AWANG
Azlan Muhammad Zain


KUALA LUMPUR: Jaguh trek berbasikal negara, Azizulhasni Awang memberi petanda positif menjelang Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan depan apabila cemerlang memenangi acara keirin dan pecut individu pada siri pertama Piala Trek China 2018, semalam.

Pada kejohanan yang berlangsung di Taiyuan itu, Azizulhasni yang digelar ‘Pocketrocketman’ pertama melintasi garisan penamat dalam acara keirin dengan dua pelumba tuan rumah, Xu Chao dan Wang Yibo terpaksa akur di tempat kedua dan ketiga.

Seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom yang layak ke final pula sekadar menduduki tempat kelima apabila mengalami kemalangan selepas dilanggar Bi Wenjun sekali gus menyebabkan pelumba dari China berkenaan disingkirkan.

Terdahulu pada Rabu, dalam saingan pecut individu, Azizulhasni turut muncul juara apabila menewaskan Xu Chao dalam dua perlumbaan final manakala Shah Firdaus meraih gangsa.

“Layak sebagai pelumba kedua terpantas dengan masa 9.895 saat (s) dan menentang Xu Chao di final dalam dua perlumbaan yang mencabar.

“Saingan yang sangat sengit dalam Piala Trek China, kejohanan kelas 1 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI). Saya turut berbangga dengan rakan sepasukan (Shah Firdaus dan Fadhil Zonis) kerana menyertai pelumba negara yang berjaya melakukan bawah 10s,” kata Azizulhasni.

Pada sesi kelayakan acara pecut individu, Shah Firdaus turut melakar rekod peribadi terbaik dengan masa 9.912s selain Fadhil mencatatkan 9.997s.

Kejohanan berkenaan adalah medan kepada pelumba negara mengutip mata untuk ke saingan Piala Dunia yang bermula November depan selain mengukur prestasi menjelang Sukan Asia dengan sandaran diletakkan kepada Azizulhasni untuk meraih pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 4:25 PM