HOE Yean pemenang emas tunggal acara renang.
HOE Yean pemenang emas tunggal acara renang.

Hanoi: Pasukan renang negara perlu berhati-hati memilih hala tuju yang perlu diambil sekiranya mahu memulihkan prestasi dalam sukan itu.

Skuad negara menamatkan saingan Sukan Sea Hanoi di tempat kelima daripada 10 negara yang bertanding dengan pencapaian satu emas, empat perak dan dua gangsa.

Rekod itu penurunan daripada edisi Sukan Sea Manila 2019 apabila meraih dua emas, dua perak dan tiga gangsa. Malaysia menduduki tempat ketiga daripada 11 negara yang bertanding ketika itu.

Kali terakhir Malaysia hanya memenangi satu emas bagi sukan itu ialah pada edisi Singapura 1983.

Khiew Hoe Yean, 20, paling menyinar dengan emas 200 meter gaya bebas lelaki, perak dalam 200m kuak lentang, 400m gaya bebas dan 4x200m gaya bebas berganti-ganti serta gangsa dalam 800m gaya bebas.

Kuartet 4x200m yang turut menampilkan Welson Sim, Arvin Shaun Singh Chahal dan Lim Yin Chuen memecahkan rekod kebangsaan dalam disiplin yang mula diperkenalkan sejak 2014 itu.

Ketua jurulatih pasukan renang negara, Chris Martin berkata, dia berharap memperoleh pencapaian lebih baik, namun tetap berpuas hati dengan usaha dan potensi yang ditunjukkan oleh perenang negara.

"Satu emas, empat perak dan dua gangsa. Saya mahu lebih daripada itu, semua jurulatih renang sentiasa mahu lebih. Saya ingin dapatkan semula pingat acara berganti-ganti (4x100m gaya bebas) yang pada itu hilang kelayakan, saya mahu lebih lagi," katanya.

"Tetapi saya hargai usaha dipamerkan perenang, terutama dalam situasi Covid-19 yang kita alami tahun lalu. Saya sebenarnya bangga dengan usaha dipamerkan, mereka benar-benar konsisten," katanya.

"Tetapi saya hargai usaha dipamerkan perenang, terutama dalam situasi Covid-19 yang kita alami tahun lalu. Saya sebenarnya bangga dengan usaha dipamerkan, mereka benar-benar konsisten," katanya.

Martin berkata, dia membincangkan masa depan sukan itu dengan persatuan setibanya di Malaysia nanti.

"Seperti saya katakan (sebelum ini), kami mengadakan pertemuan dengan persatuan apabila kami kembali, kami perlu perbaharui strategi. Nampaknya terdapat tiga strategi digunakan di negara Asia Tenggara dan saya fikir kita perlu memilih sama ada satu atau dua daripadanya. Cara Vietnam, mereka pergi selama sembilan bulan ke Budapest dan tiga bulan lagi di Amerika Syarikat (untuk berlatih dan bersaing). Mereka mendapat 33 perenang untuk komited terus komited.

"Cara Singapura, mereka membuat penyelidikan kepada sejumlah besar pelapis mereka. Atau, kita boleh menumpukan pada perkara khusus bagi acara itu dan cuba membawa 'orang besar' (secara fizikal) ke acara pendek. Bagi perenang yang boleh bertahan lama, dibawa ke acara yang lebih panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 9:40 PM