MAGNINI merasakan usia bukan penghalang untuk dia kembali ke kolam renang. FOTO AFP
MAGNINI merasakan usia bukan penghalang untuk dia kembali ke kolam renang. FOTO AFP
AFP

Rome: Bekas juara dunia dua kali, Filippo Magnini berkata, beliau akan kembali ke sukan renang pada usia 38 tahun, selepas hampir tiga tahun bersara.

Dalam akaun Instagram, perenang Itali itu berkata, beliau akan kembali semula ke kolam renang adalah disebabkan dirinya sendiri, keluarga dan negaranya.

Sementara itu, Persekutuan Renang Itali ketika dihubungi AFP tidak mahu memberi sebarang komen mengenai pengumuman itu.

Magnini meraih emas dalam acara 100 meter (m) gaya bebas pada Kejohanan Dunia 2005 dan 2007, selain membantu Itali meraih gangsa dalam acara 4x200m gaya bebas di Sukan Olimpik 2004.

Februari lalu Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membatalkan penggantungan doping yang dikenakan ke atasnya oleh Agensi Anti Doping Itali (NADO) pada November 2018.

Magnini digantung berikutan prosiding jenayah terhadap pakar pemakanan, Guido Porcellini, yang digantung selama 30 tahun oleh pihak berkuasa Itali kerana menjual produk doping dan ubat-ubatan palsu.

Nama Magnini dijumpai antara sebahagian daripada bukti, yang menunjukkan produk tertentu akan diberikan kepada perenang, walaupun penyiasat mengakui beliau mungkin tidak menggunakan atau menerimanya.

"Ia bukan satu keputusan mudah tapi saya mengambil keputusan untuk kembali. Saya hampir tenggelam namun tidak ada yang mampu mengalahkan saya, semuanya memberikan saya motivasi untuk saya kembali bangkit serta bertanding sekali lagi," katanya yang bersara pada 2017.

Magnini juga terkenal di Itali kerana mempunyai bekas teman wanita yang juga juara Olimpik 2008, Federica Pellegrini, iaitu salah seorang bintang sukan terkenal di Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2020 @ 9:42 AM