Aleah Finnegan
Aleah Finnegan
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Temasya Sukan Sea di Hanoi kali ini disifatkan paling sukar buat skuad gimnastik negara.

Ketiadaan Farah Ann Abdul Hadi sememangnya diakui meninggalkan kesan, tapi yang lebih membimbangkan adalah kekuatan seteru utama, Filipina.

Filipina kali ini menyenaraikan beberapa gimnas naturalisasi dari Amerika Syarikat dan ia tampak bakal memperkuatkan pihak lawan yang menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan pada edisi 2019.

Tegas jurulatih skuad Ng Shu Wai sepanjang lima tahun beliau mengemudi pasukan gimnastik negara, temasya tahun ini paling sukar dengan cabaran daripada Filipina dan kemampuan pasukan tuan rumah.

Katanya, berdasarkan senarai dikeluarkan media Filipina, negara itu bakal menghantar 28 atlet dengan menyaksikan beberapa nama gimnas artistik wanita naturalisasi tersenarai seperti Aleah Finnegan.

"Kalau dilihat daripada senarai dikeluarkan Filipina mereka menyenaraikan empat gimnas dari AS untuk Sukan Sea kali ini. Jadi ia memang sukar walaupun kami harap dapat menyaingi mereka dan saya yakin kami dapat capai sasaran," katanya.

Farah menjadi tunjang utama pingat emas diraih di Filipina tiga tahun lalu apabila meraih kilauan berkenaan dalam acara all around, palang tak sejajar dan senaman lantai manakala Tracy Ang, menguasai acara batang titian.

Pada edisi 2019, Malaysia muncul juara keseluruhan sukan gimnastik dengan memperoleh sembilan emas, tiga perak dan empat gangsa manakala Vietnam di tangga kedua, enam emas, dua perak dan tujuh gangsa.

Filipina di kedudukan ketiga dengan tiga emas, lima perak dan empat gangsa.

Bagaimanapun, episod berbeza buat skuad negara dalam acara gimrama apabila Malaysia dianggap sebagai kuasa besar dalam acara itu.

Gimnas negara dilihat tidak berdepan masalah menyapu bersih dua emas yang dipertandingkan iaitu dalam acara individu dan berkumpulan.

Menjelang Sukan Sea Hanoi, Malaysia menghantar sembilan atlet gimnas iaitu tiga kategori individu dan enam dalam kategori kumpulan.

Pada Sukan Sea Manila, Filipina, Malaysia membawa pulang empat pingat menerusi acara all around berkumpulan, dan dua emas diraih Izzah Amzan, manakala Koi Sie Yan meraih emas dalam acara apparatus riben wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 6:01 AM