SIE YAN harapan negara untuk emas dalam acara gimrama di Sukan Komanwel. -FOTO NSTP
SIE YAN harapan negara untuk emas dalam acara gimrama di Sukan Komanwel. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Gimnas negara Koi Sie Yan tidak melihat sebagai tekanan apabila diletakkan sebagai sasaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 bermula 28 Julai ini.

Melihat kepada prestasi terdahulu apabila berjaya meraih tiga pingat perak dan satu gangsa pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast jelas sekali Sie Yan antara prospek yang mampu memberikan khabar gembira buat kontinjen Malaysia kelak.

Malah, kejayaan gimnas dari Pahang meraih satu pingat emas Sukan Sea Vietnam 2021 di Hanoi dalam acara individual all-around baru-baru ini turut memberi petanda bahawa dia kini berada pada tahap terbaik untuk mencipta kejayaan.

Walaupun diletakkan sebagai harapan untuk memperoleh emas, Sie Yan tidak melihat situasi berkenaan memberi tekanan kepadanya malah mahu berusaha lebih keras bagi memastikan matlamat terbabit berjaya dicapai.

"Birmingham nanti akan menjadi Sukan Komanwel kedua saya. Ia akan menjadi sesuatu yang baik jika saya dapat mengekalkannya (memenangi pingat) atau meraih keputusan lebih bagus.

"Pencabar saya kali ini lebih sukar. Jadi saya lebih kepada mahu memberikan prestasi terbaik dan hasilnya akan datang kemudian," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Gimnasium 1 Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam.

Selain Sie Yan, Persekutuan Gimnastik Malaysia turut meletakkan sandaran kepada dua lagi gimnas, Izzah Amzan dan Ng Joe En dalam empat aparatus individu, individual all around dan berpasukan di Birmingham nanti.

Sebagai persediaan, mereka bertiga akan berlepas ke Baku, Azerbaijan pada 5 Julai ini untuk menjalani latihan pusat sebelum menyertai satu kejohanan di Mink, Belarus selepas itu.

Mengikut rekod, pada edisi Komanwel terdahulu menyaksikan Amy Kwan yang menjadi gimnas tunggal negara meraih pingat emas untuk acara gimnastik pada temasya berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 4:17 PM