GIMNAS senior negara, Koi Sie Yan memenangi emas acara all-round individu di Kompleks Sukan Quan Ngua, Hanoi, hari ini. FOTO Bernama
GIMNAS senior negara, Koi Sie Yan memenangi emas acara all-round individu di Kompleks Sukan Quan Ngua, Hanoi, hari ini. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Atlet gimnastik berirama negara mengungguli acara all-around individu di Sukan Sea Hanoi selepas meraih pingat emas dan perak di Pusat Gimnasium Quan Ngua, hari ini.

Koi Sie Yan berjaya meraih emas selepas mengumpul markah keseluruhan 109.100 mata, manakala seorang lagi wakil negara Ng Joe Ee mengumpul 104.600 mata dan gangsa menjadi milik Breanna Labadan dari Filipina (96.650).

Sie Yan, 23, berkata kemenangan itu menambah koleksi emas ketujuhnya sejak penampilan pertama di Sukan Sea Singapura 2015 walaupun turun dengan sedikit tekanan.

"Saya sudah berjanji mahu mempertahankan emas sebelum datang ke sini dan ia berjaya dilakukan untuk Malaysia.

"Ini penampilan keempat saya di Sukan Sea dan sebaik sahaja tamat acara terakhir iaitu riben saya berasa sangat lega seperti hilang bebanan yang dibawa.

"Rata-rata gimnas muda memberi saingan sengit, tetapi saya gembira dapat menang emas sekali lagi kali ini," katanya sejurus tamat acara berkenaan.

Dalam all-around menyaksikan empat disiplin dipertandingkan iaitu gelung, bola, belantan dan riben dengan tiga markah terbaik diambil kira untuk pemarkahan keseluruhan.

Bagi acara gelung, gimnas senior itu berjaya mengumpul 25.250, bola (29.850), belantan (27.400 dan riben (26.600) manakala Joe Ee mencatat 26.450, bola (25.450), belantan (26.400) dan riben (26.600) mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 4:56 PM