ATLET lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli. FOTO ARKIB NSTP
ATLET lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Atlet lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli sekali lagi terpaksa berkorban pada Syawal kali ini apabila tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga buat kali kedua.

Jika tahun lalu dia tidak dapat beraya bersama keluarga kerana gelembung sukan yang dipraktikkan sebelum ke temasya Paralimpik Tokyo 2020, tahun ini sekali lagi dia tidak dapat berhari raya bersama keluarga kerana menyertai kem latihan pusat ke temasya Sukan Sea Hanoi pula.

Bakal membuat penampilan ketiganya di temasya Sukan Sea dengan misi menukar warna pingat daripada perak kepada emas, Ziyad berkata semua itu dilakukan kerana negara tercinta.

Katanya, sekiranya berjaya meraih emas di temasya Sukan Sea yang akan bermula dari 12 hingga 23 Mei ini, dia akan menjadi atlet pertama negara melakukannya dalam acara itu dan melakar sejarah atlet para pertama meraih emas di temasya dwi tahunan itu.

Mula beraksi di temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dengan kejayaan meraih gangsa diikuti perak di Sukan Sea Filipina tiga tahun lalu, Ziyad mengharapkan doa semua pihak untuk mengiringinya ke Hanoi seterusnya membawa pulang emas.

Justeru untuk merealisasikan sasaran itu, banyak yang perlu dikorbankan dan tidak dapat bersama-sama keluarga di pagi 1 Syawal itu tidak akan menjejaskan fokusnya untuk memburu pingat di Hanoi.

"Itulah yang perlu dikorban seseorang atlet kerana untuk mencapai sesuatu kejayaan itu bukan mudah dan ia tidak datang bergolek dan menuntut satu pengorbanan.

"Malah dia perlu lakukan perkara itu untuk bangkit melupakan episod hitam apabila kejayaannya meraih emas ketika di Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan dengan kejayaan lebih gemilang di Sukan Sea Hanoi kali ini.

"Saya agak sedih kerana tidak dapat bersama isteri Zafira Nasir dan dua anak, Zuhayra Zafra dan Tariq Xavier namun tuntutan tugas sebagai atlet perlu diutamakan.

"Sebagai atlet, kita perlu tempuh semua ini. Keluarga perlu terima kerana apa yang saya lakukan ini bukan untuk diri kita, tapi buat untuk keluarga dan negara," katanya.

Menurutnya, dia sudah memaklumkan kepada isteri dua bulan lebih awal untuk bersedia bahawa tahun ini sekali lagi tidak dapat meraikan hari raya bersama keluarga.

"Memanglah dia (Zafira) rasa sedih tapi Alhamdulillah dia memahami tugas saya dan apa yang saya mahu capai, jadi dia perlu terima saya ada tugas demi negara.

"Tapi sebelum saya berangkat ke kem latihan pusat di MSN (Majlis Sukan Negara) kami sudah bergambar bersama-sama dengan memakai baju raya, jadi adalah kenangan beraya bersama tahun ini," katanya yang meraih emas di temasya Paralimpik Rio 2016 dengan 16.84 meter (m).

Bagaimanapun, Ziyad mengakui belum sampai ke kemuncak prestasi dan yakin mampu melakukan lebih baik di Hanoi berbanding ketika menyertai Terbuka Singapura, awal bulan ini.

Ziyad meraih gangsa di Singapura selepas membuat lontaran sejauh 16.54 meter (m) dan terpaksa akur tewas di tangan dua atlet Filipina, John Albert Mentua yang memenangi emas dengan catatan 17.33m manakala Wiiliam Edward meraih perak dengan 16.6m.

Dia sebelum ini pernah melakukan lontaran 17.94m ketika beraksi di Paralimpik Tokyo 2020 namun dibatalkan kerana melanggar peraturan kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 3:06 PM