AKSI Ziyad ketika menyertai acara lontar peluru.  FOTO Fathil Asri
AKSI Ziyad ketika menyertai acara lontar peluru. FOTO Fathil Asri
Syazwan Msar

Phnom Penh: Atlet para negara Muhammad Ziyad Zolkefli sekali lagi terlepas peluang meraih emas di temasya Sukan Sea Kemboja apabila mengakhiri saingan dalam acara lontar peluru lelaki di tempat ketiga.

Aksi yang berlangsung di Stadium Morodok Techo itu menyaksikan Ziyad melakukan lontaran sejauh 17.20 meter (m) namun belum mampu menewaskan pesaing terdekat dari Thailand Jakkapat Noisri dan Thanh Binh Phan yang mewakili Vietnam.

Jakkapat membawa pulang emas selepas melakukan lontaran sejauh 17.84m manakala Binh Phan pula memenangi perak(17.33m).

Menurut atlet berusia 33 tahun itu, dia sememangnya menyimpan hasrat membawa pulang emas untuk negara pada edisi kali ini sekali gus memperbaiki rekod memenangi gangsa pada edisi di Hanoi, Vietnam, tahun lalu.

"Saya salahkan diri sendiri kerana teknik tidak berapa betul menyebabkan terlepas peluang merangkul emas untuk negara. Namun, pada masa sama saya bersyukur dapat mengekalkan pingat gangsa sekali gus membuktikan atlet paralimpik juga mampu mencipta kejayaan di sukan Sea," katanya.

Mengikut rekod, pada penampilan pertama di Sukan Sea 2017 menyaksikan Ziyad membawa pulang perak sebelum merangkul gangsa ketika beraksi di Manila, Filina pada 2019.

Pada edisi tahun lalu Ziyad turut membawa pulang gangsa sekali gus menyaksikan dia sudah merangkul empat pingat sepanjang tempoh pembabitannya di Sukan Sea.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 9:09 PM