ZIYAD jalani latihan secara kuarantin di MSN.
ZIYAD jalani latihan secara kuarantin di MSN.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Demi merealisasikan misi emas buat negara di temasya Paralimpik Tokyo, atlet lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli terpaksa berkorban meninggalkan anak dan isterinya dan memilih untuk menjalani latihan secara kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN).

Bukan itu saja, tiada sambutan Aidilfitri tahun ini buat dirinya dan keluarga kerana tidak dibenarkan untuk keluar daripada MSN namun ia perlu dilakukan demi memastikan sekali lagi impian untuk hadiahkan emas kepada negara dapat dicapai.

Ziyad yang juga pemenang pingat emas Paralimpik Rio dalam acara lontar peluru itu berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk berlatih ketika tempoh yang tinggal sebelum temasya bermula kurang daripada tiga bulan.

"Tahun ini saya berjuang untuk satu pingat emas. Tak mengapa saya korbankan raya saya bersama isteri dan anak-anak tahun ini, tahun depan insya-Allah jika Allah panjangkan usia saya, saya akan beraya puas-puas bersama mereka.

"Memang tidak dinafikan perasaan rindu dan sedih itu kerana semua sedia maklum raya itu satu hari yang menggembirakan tapi tak mengapa, situasi macam ini pun bukan selalu (kuarantin) jadi tak boleh nak buat apa selain reda dan berserah agar semua berjalan lancar.

"Bagi saya okey juga sebab bukan selalu dapat merasai perasaan macam ini jadi ada benda nak bercerita nanti kat orang lain," katanya.

Kata Ziyad, tiada rehat panjang diberikan oleh jurulatihnya, Faizol Harun dan latihan sudah mula dilakukan sebaik hari raya kedua.

"Latihan diteruskan seperti biasa. Jika bulan puasa latihan di sebelah malam tapi lepas ini terus berlatih seperti biasa. Saya ikut saja perancangan jurulatih. Apa yang dirancang kerana itu yang terbaik untuk saya. Sebab inilah detik-detik emas untuk saya berlatih dengan lebih bagus," katanya.

Untuk rekod, Ziyad pemegang rekod para dunia yang dilakukan ketika Kejohanan Para Dunia di London pada 2017 dengan catatan 17.29m mengatasi pencapaian yang direkodkan ketika meraih emas di Olimpik Rio 16.84m pada 2016.

Bagaimanapun, rekod kebangsaan masih kekal milik bekas atlet negara, Adi Alifuddin Hussin yang melakukan lontaran 17.54 m pada Sukan Sea Palembang Indonesia 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 9:30 PM