ZIYAD tak salahkan Faizol. -FOTO Instagram Ziyad
ZIYAD tak salahkan Faizol. -FOTO Instagram Ziyad
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Selepas gagal membawa pulang pingat emas apabila kemenangan atletnya dibatalkan penganjur, jurulatih para Mohd Faizol Harun mengaku bertanggungjawab penuh terhadap insiden menimpa Muhammad Ziyad Zolkefli pada temasya Paralimpik Tokyo 2020.

Pengakuannya itu tidak sepenuhnya diterima peminat dan warganet yang mengecamnya kerana mengecewakan seluruh negara apatah lagi berjuta-juta pasang mata di seluruh dunia sudah menyaksikan bagaimana atlet lontar peluru kelas F20 (masalah pembelajaran) itu melakukan lontaran yang memecahkan rekod dunia sebanyak tiga kali.

Ziyad, 31, bagaimanapun tampil mempertahankan jurulatihnya dalam hantaran terbaharu di media sosial.

"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada jurulatih saya @pejoeharun. Beliau adalah orang yang memimpin tangan saya untuk belajar bertatih sehingga saya boleh berlari ke hadapan dan sehingga hari ini masih setia bersama saya.

"Sekiranya orang di luar sana nampak saya berdiri di hadapan sekarang, percayalah beliau sentiasa setia di belakang saya. Andai orang di luar sana fikir saya berkorban bertahun-tahun untuk mencapai kejayaan pada kali ini, beliau juga berkorban lebih daripada saya.

"Kalau orang di luar tak sanggup melihat kegagalan saya, apatah lagi beliau adalah orang yang paling sedih dan kecewa. Beliau lakukan apa sahaja untuk saya.

"Beliau adalah kawan, abang dan ayah kepada saya sepanjang karier saya lebih 11 tahun dalam arena sukan. Beliau yang menjadikan saya di mana saya berada sekarang. Tak mungkin saya boleh berdiri dengan sendiri. Terima kasih coach," tulisnya.

Isteri Ziyad, Zafira Nasir turut mempertahankan Faizol yang sudah melatih suaminya lebih 11 tahun hingga mampu meraih pingat emas pada temasya Sukan Paralimpik Rio 2016, gangsa pada London 2012 dan dua emas Kejohanan Para Dunia 2013 (Lyon, Perancis) dan 2017 (London).

"Di sebalik kejayaan seorang atlet, ada seorang jurulatih di belakangnya yang sentiasa ada dan sanggup berkorban apa sahaja demi meraih kejayaan untuk anak didiknya. Segala perih, segala lelah yang diperah hanya untuk anak didiknya mendapat pulangan selepas berhempas pulas demi sebuah kejayaan.

"Begitu juga dengan kejayaan Ziyad. Di belakangnya ada seorang jurulatih yang sanggup berkorban apa sahaja demi Ziyad mencapai kejayaan. Dengan hasil didikan serta tunjuk ajar jurulatih, Alhamdullilah Ziyad mampu berada di mata dunia. Banyak kejayaan dan kebanggaan sudah dikecapi.

"Hampir 11 tahun mereka bersama, mengharungi perit getir suka duka demi meraih sebuah kejayaan. Pembatalan emas Ziyad di Tokyo tidak akan menjadi sebab untuk kami lupakan jasa dan pengorbanan jurulatih bagi kejayaan sebelum ini. Pengorbanan jurulatih terlalu besar kerana sanggup berkorban masa, keluarga dan segala-galanya untuk Ziyad.

"Terima kasih coach @pejoeharun untuk segala-galanya. Terima kasih juga untuk @fairuz_hanisah (isteri Faizol, Fairuz Hanisah Che Ibrahim yang juga bekas atlet memanah negara) yang sama-sama berkorban, sentiasa memberi sokongan dan amat memahami semoga kita sama-sama kuat untuk menghadapi situasi yang sukar. Selalu ada pelangi selepas hujan kan kak @fairuz_hanisah," tulis Zafira panjang lebar.

Kelewatan Ziyad memasuki 'call room' memusnahkan impiannya untuk membawa pulang pingat emas buat negara pada temasya Paralimpik Tokyo 2020. Sekalipun memecahkan rekod dunia miliknya sendiri dengan lontaran sejauh 17.94 meter, kemenangannya dibatalkan penganjur selepas pengadil melayan protes jurulatih Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 2:39 PM