Kuala Lumpur: Kejayaan dua atlet Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli melakar sejarah memenangi pingat emas di temasya Paralimpik Rio, Brazil semalam mencetuskan inspirasi buat rakyat Malaysia.

Bagi jaguh lumba basikal negara Azizulhasni Awang (gambar), kejayaan itu membuktikan atlet negara mampu mencapai kejayaan di peringkat tertinggi.

“Saya terkejut apabila mendapat tahu kita meraih dua pingat emas. Tapi melihat kepada prestasi memang kita jangka kita ada peluang untuk menang.

“Memang saya bangga, teruja kerana ini pingat emas pertama negara di Paralimpik dan saya percaya ia akan menjadi inspirasi buat rakyat Malaysia dan untuk diri saya sendiri dalam memburu podium pada Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya yang membawa pulang gangsa acara keirin di Olimpik Rio bulan lalu.

Ridzuan mencipta kejutan dengan dengan menyumbang emas pertama negara di temasya Paralimpik apabila memenangi acara 100m T36 (celebral palsy) sebelum Ziyad menambah emas kedua dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran).

Sementara itu bagi atlet angkat berat Mohd Hafifi Mansor, kejayaan Ridzuan dan Ziyad memberikan penanda aras baru untuk atlet negara capai.

“Memang saya sangat gembira dengan kejayaan ini apatah lagi saya juga rapat dengan mereka apabila bersama di MSN (Majlis Sukan Negara).

“Tahun depan kita ada Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Komanwel pada 2018 sebelum Sukan Olimpik Tokyo 2020. Atlet OKU (orang kelainan upaya) sudah meraih dua pingat emas jadi ia pasti menjad perangsang kepada atlet normal.

“Saya juga berharap agar segala ganjaran yang diterima atlet normal turut diberikan kepada atlet ini,” katanya yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi kategori 69kg di Rio.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 8:47 AM