Pemain Australia, Ashleigh Barty meraikan kejayaan mara di kejohanan Terbuka Madrid. FOTO AFP
Pemain Australia, Ashleigh Barty meraikan kejayaan mara di kejohanan Terbuka Madrid. FOTO AFP
AFP

Madrid: Pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty menang dalam pertarungan membabitkan bekas juara Terbuka Perancis apabila menewaskan Iga Swiatek dari Poland untuk mara ke peringkat suku akhir Terbuka Madrid.

Ashleigh melakar kejuaraan di Roland Garros pada 2019 sebelum Iga mempamerkan kejutan untuk merangkul kejuaraan utama pertamanya di Paris tahun berikutnya.

Kedua-dua pemain akan menjadi antara pemain pilihan di Terbuka Perancis bulan depan tetapi Ashleigh memperoleh moral awal serta menyerlahkan kemampuannya di Madrid, selepas dia menewaskan Iga, 7-5, 6-4.

"Saya sangat gembira dengan permainan saya hari ini, saya gembira dengan cabaran," kata Ashleigh.

"Aksi Iga adalah tidak terkecuali. Ia sangat, sangat menakjubkan. Saya gemar menguji diri sendiri dan cuba menyelesaikan masalah hari ini dan mengakui berdepan cabaran daripada lawan."

Sensasi Australia itu akan berdepan juara tiga kali Madrid, Petra Kvitova untuk tempat ke separuh akhir, selepas Petra menewaskan pemain Russia, Veronika Kudermetova 6-3, 4-6, 6-4.

Kekalahan Iga menamatkan rekod tanpa kalah berturut-turut dalam sembilan perlawanan pemain itu di gelanggang tanah liat sementara Ashleigh melebarkan rekod kemenangan kepada 14 perlawanan di gelanggang sama.

Ashleigh tidak diberi laluan mudah pada aksi itu sebelum mencatat kemenangan dalam tempoh satu jam dan 41 minit.

Sementara Petra yang memenangi kejuaraan di kejohanan itu pada 2011, 2015 dan 2018, juga diberi saingan sengit oleh Veronika yang juga salah seorang pemain menunjukkan peningkatan di jelajah itu, selepas memenangi kejuaraan WTA pertama di Charleston bulan lalu.

Namun Petra menggunakan semua pengalamannya dan melakukan beberapa pukulan menarik dalam pemburuan untuk melakar kejuaraan keempat di Madrid.

"Sememangnya ia perlawanan yang sukar," kata Petra.

"Ia semata-mata mengenai pukulan. Ia hanya satu break pada setiap set. Saya sangat bersyukur kerana berjaya mengawal hampir keseluruhan permainan. Veronika beraksi dengan baik. Sejak dia menang Charleston, dia beraksi sangat baik. Dia akan menjadi bakal juara.

"Keseluruhan perlawanan ini saya dipaksa bekerja keras, tetapi ketenangan membantu saya sehingga berjaya memperoleh kemenangan."

Pemain pilihan kelapan, Belinda Bencic juga berjaya mara selepas lawannya Ons Jabeur menarik diri dengan kecederaan otot ketika saingan 7-6 (7/2) 4-3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 9:09 AM