ASHLEIGH mendapat tonik terbaik sebelum bermula Terbuka Australia selepas muncul juara Klasik Yarra Valley. FOTO EPA
ASHLEIGH mendapat tonik terbaik sebelum bermula Terbuka Australia selepas muncul juara Klasik Yarra Valley. FOTO EPA
AFP

Melbourne: Pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty mengakui dia tidak berdepan tekanan tambahan menjelang Terbuka Australia terutama selepas berjaya mengalahkan Garbine Muguruza dalam perlawanan akhir Klasik Yarra Valley.

Pemain kelahiran Australia itu berjaya mengalahkan juara Grand Slam dua kali 7-6 (7/3), 6-4 di Arena Margaret Court dalam tempoh satu jam 47 minit untuk meraih gelaran WTA kesembilan.

Ia bakal meningkatkan keyakinan pemain berusia 24 tahun itu yang beraksi pada kejohanan pertamanya selepas 11 bulan, walaupun di awal saingan agak bergelut untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang selain dibantu dengan penarikan diri Serena Williams di separuh akhir.

Ashleigh, yang diharapkan dapat menamatkan kemarau 43 tahun negaranya meraih gelaran perseorangan di Terbuka Australia, tidak terjejas dengan harapan tinggi peminat tempatan.

"Tidak ada tekanan tambahan buat saya, ia sama saja tidak kisah Grand Slam atau saingan jelajah. Saya suka bermain di Australia.

"Saya akan memulakan aksi Terbuka Australia dengan perasaan teruja, persiapan mantap dan sedia untuk beraksi," katanya.

Ashleigh menerima trofi yang sangat menarik, ukiran kayu wombat, yang direka oleh artis orang asli tempatan.

"Ini satu penghormatan yang sangat menyentuh perasaan kerana berkaitan dengan keturunan saya. Ia sangat menarik mendapat trofi hasil seni orang asli," katanya.

Bapa Ashleigh adalah dari keturunan Aboriginal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 2:59 PM