Mark Cavendish. FOTO Agensi
Mark Cavendish. FOTO Agensi
Agensi

Paris: Mark Cavendish menandatangani kontrak lanjutan setahun bersama Deceuninck Quick-Step yang menyaksikan dia kekal di pasukan itu hingga hujung 2022.

Pelumba pecut Britain berusia 36 tahun itu memenangi empat peringkat dan Jersi Hijau pada jelajah Tour de France tahun ini selepas menyertai semula pasukan Belgium itu pada 2021.

Kemunculan semula menakjubkan itu menyaksikan dia menyamai rekod legenda Belgium, Eddy Merckx yang memenangi 34 peringkat perlumbaan di jelajah pada Julai lalu.

"Tempoh 12 bulan terakhir ini adalah sangat menakjubkan," kata Cavendish yang turut menganggotai pasukan sama dari 2013 hingga 2015.

"Sokongan yang saya peroleh daripada pasukan dan kaki tangan membuatkan saya sangat beremosi," tambahnya.

"Saya tidak sabar untuk melakar lebih banyak memori istimewa bersama pasukan ini sepanjang 12 bulan akan datang."

Kejayaan Cavendish merangkul Jersi Hijau tiga kali berturut-turut di Tour de France adalah pencapaian pertama dalam tempoh sedekad dan hadir selepas pelumba Britain itu tidak memenangi sebarang perlumbaan pada 2019 dan 2020.

Cavendish mengakui dia merakam kepulangan yang menakjubkan apabila memenangi peringkat jelajah pertama dalam tempoh lima tahun.

Sebelum ini, pelumba The Manx itu mengalami kecederaan pada paru-paru dan patah tulang rangka selepas terbabit kemalangan di Six Days of Ghent pada November.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 11:05 AM