JAKOBSEN muncul juara peringkat kedua TdF. -FOTO EPA
JAKOBSEN muncul juara peringkat kedua TdF. -FOTO EPA
AFP

Nyborg, Denmark: Dua tahun selepas kemalangan basikal yang hampir meragut nyawanya, Fabio Jakobsen berjaya memenangi peringkat kedua Tour de France (TdF) dan membuktikan keputusannya pasukan Quick-Step Alpha Vinyl memilihnya berbanding pelumba berpengalaman Mark Cavendish adalah tepat.

Jakobsen mengenepikan Wout van Aert dari Jumbo-Visma yang merampas jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan selepas tamat persaingan sejauh 202.2km dari Roskilde ke Nyborg, Denmark yang turut melalui laluan berbahaya di Jambatan Great Belt sejauh 18km.

Kemenangan pelumba Belanda, Jakobsen itu bermakna Quick-Step kini sudahpun meraih dua kemenangan peringkat dalam tempoh beberapa hari selepas mereka membuat keputusan untuk tidak memilih Cavendish yang berpengalaman meraih sebanyak 34 kemenangan peringkat selama ini.

"Cavendish adalah legenda saya harap kami berdua boleh berada di sini," kata Jakobsen.

"Dia membantu saya mendapatkan perjanjian ini dan saya pasti dia gembira dengan kemenangan saya," katanya.

Jakobsen, 25, berdepan kemalangan ngeri yang mengancam nyawanya ketika Jelajah Poland pada 2020 tetapi sudahpun pulih sepenuhnya dan menjadi salah satu pelumba pecut yang paling digeruni dalam sukan berbasikal lebuh raya dan memulakan aksi di TdF yang pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 12:36 PM