CAVENDISH antara pakar pecut terbaik dalam sukan lumba basikal. FOTO Agensi
CAVENDISH antara pakar pecut terbaik dalam sukan lumba basikal. FOTO Agensi
Agensi

Ankara: Mark Cavendish menjuarai perlumbaan pertamanya dalam tempoh tiga tahun selepas memenangi peringkat kedua Jelajah Turki, semalam.

Pelumba veteran Britain berusia 35 tahun itu yang beraksi bersama pasukan Deceuninck-Quick Step melakukan pecutan lewat untuk memintas pelumba Belgium, Jasper Philipsen di garisan penamat.

"Mencapai kembali kemenangan selepas beberapa tahun memang menakjubkan," katanya.

"Memang hebat, sangat bagus dan saya tidak pernah letih untuk mendapatkan perasaan seperti ini."

Ia kemenangan pertama Cavendish yang menyuarakan hasrat untuk bersara musim lalu selepas menyertai semula pasukan Deceuninck-Quick Step dengan kontrak setahun sejak peringkat ketiga Jelajah Dubai pada 2018.

"Setiap orang dalam pasukan ini benar-benar komited hari ini dan itu sangat penting," katanya.

"Philipsen melepaskan diri daripada kelompok besar lebih awal dan mempunyai jurang kecil tetapi saya mempunyai cukup masa untuk membuat pecutan.

"Saya sendiri terkejut dengan kemampuan saya meluru pantas pada beberapa meter terakhir.''

Cavendish menjuarai 30 peringkat di Tour de France dan dianggap salah seorang pakar pecut terbaik dalam sejarah tetapi bergelut dengan prestasi sejak dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 12:31 PM