Alia (kiri) bersama rakan pasukan, Najwa Fauzi ketika sesi latihan.
Alia (kiri) bersama rakan pasukan, Najwa Fauzi ketika sesi latihan.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal wanita Terengganu, Siti Nur Alia Mansor melakar sejarah tersendiri apabila dilamar untuk beraksi bersama pasukan profesional Eropah, Canyon-Sram Racing.

Dia yang juga adik kepada pemenang pingat emas Sukan Komanwel di Glasgow dalam acara angkat berat, Hafifi Mansor itu mengikat kontrak selama setahun bersama pasukan yang kini berpangkalan di Sepanyol.

Pernah berpangkalan di Melbourne dan berlatih di bawah bimbingan John Beasley dalam acara trek sebelum ini, Alia, 20, sudahpun mengikat kontrak selamat setahun dan menjadi wanita pertama akan beraksi bersama kelab berstatus profesional itu.

Ia membuka lembaran baru buat pelumba lebuh raya itu untuk melebarkan sayapnya lebih jauh lagi dan menjadi pencetus inspirasi kepada pelumba wanita yang lain.

"Semuanya bermula apabila saya dihubungi oleh Adam Szabo menerusi Instagram. Adam sebelum ini adalah bekas jurulatih TSG (Terengganu Cycling Team).

"Sebelum ini tidak pernah ada pelumba wanita negara yang mendapat tawaran untuk berlumba bersama pasukan Eropah. Pastinya saya gembira apabila mendapat tawaran ini.

"Saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mengharungi cabaran ini dan saya berharap saya dapat mengorak langkah lebih jauh lagi selepas ini," katanya.

Di tanya mengapa acara lebuh raya menjadi pilihan ketika ramai memilih untuk terbabit dalam acara trek selepas kejayaan Datuk Azizulhasni Awang di pentas Olimpik, Alia berkata, berlumba dalam acara lebuh raya membuatkan dia rasa mampu untuk meneroka lebih jauh.

"Saya sudah bercakap dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu untuk lepaskan saya pergi. Saya mahukan peluang itu.

"Dulu saya pernah ke Melbourne beraksi dalam trek. Saya rasa peluang saya kecil sebab pusing velodrom. Saya rasa rasa terhimpit.

"Jadi saya mahukan peluang ini dan akan buktikan di Sukma (Sukan Malaysia) nanti," katanya yang akan berlepas ke Sepanyol 13 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 7:54 PM