Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Skuad berbasikal Selangor mengharapkan pelumba trek negara, Farina Shawati (gambar) mampu mengulangi kecemerlangannya di Perlis apabila Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII Sarawak bermula secara rasmi Sabtu depan.

Menurut jurulatih berbasikal Selangor Mahazir Hamad, Farina yang berpangkalan di Melbourne mampu menjadi penyumbang emas utama dalam acara berkenaan menerusi 200 meter pecut dan 500m ujian masa.

“Dia (Farina Shawati) adalah prospek untuk meraih kedua-dua pingat emas yang menjadi sasaran,” katanya sambil menekankan pasukan berbasikal Selangor turut menyasarkan dua perak dan dua gangsa.

Pelumba berusia 20 tahun itu sebelum ini meraih dua emas di SUKMA Perlis 2014 menerusi kedua-dua acara berkenaan dan diharap mampu mempertahankannya kali ini walaupun bakal mendapat tentangan sengit pelumba Terengganu.

“Jika berdasarkan latihan di Melbourne, Chiang Rai (Thailand) dan Solo (Indonesia), saya rasa semua pelumba Selangor sudah fokus sepenuhnya bagi memberi prestasi terbaik di Sarawak.

“Selain acara trek kita juga mengharapkan pelumba lebuh raya, baik lelaki mahupun wanita mampu menyinar dan seterusnya menyumbang pingat untuk kontinjen Selangor,” kata bekas pelumba negara itu.

Bagaimanapun, Mahazir mengakui skuad lebuh raya Selangor harus berhati-hati dengan kemampuan beberapa pencabar utama dari negeri lain termasuk Terengganu, Johor, Kuala Lumpur dan Perak.

Di Perlis, Selangor meraih empat emas, dua melalui Farina, manakala satu masing-masing disumbangkan Firdaus Zonis dan Hamdan Hamidun.

Sukan berbasikal akan bermula 20 hingga 30 Julai ini, membabitkan 11 acara lelaki dan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2016 @ 5:14 AM