BEASLEY bersama Azizul ketika sesi latihan di Nilai.
BEASLEY bersama Azizul ketika sesi latihan di Nilai.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley yakin pelumba negara mampu memberi impak dalam acara lebuh raya dan trek endurance di peringkat dunia jika mampu menyediakan pangkalan latihan di Eropah.

Beasley berkata, pangkalan Eropah itu membolehkan pelumba Malaysia berlatih dan bersaing sepanjang tahun dalam perlumbaan di sana yang menjadi keperluan utama untuk pembangunan pelumba basikal negara.

Mengambil contoh barisan pelumba pecut trek Malaysia seperti Datuk Azizulhasni Awang yang berpangkalan di Melbourne dari pertengahan 2000-an hingga tahun lalu, program seperti itu membantu membangunkan pelumba.

Bukan hanya Azizul, malah beberapa pelumba terkemuka negara lain seperti Josiah Ng, Rizal Tisin, Shah Firdaus Sahrom turut menyerlah daripada program berkenaan.

"Jika anda mahu berjaya dalam acara lebuh raya atau dalam endurance, anda perlu menghayati dan menghidupkan budaya itu. Kita perlu bawa pelumba kita keluar dari zon selesa mereka dan menyelami budaya perlumbaan di Eropah.

"Jika anda bermimpi untuk berlumba di Tour de France, anda perlu menyasarkan lebih tinggi daripada standard Asia. Standard perlumbaan lebuh raya di Eropah pasti jauh lebih tinggi daripada di sini (Asia). Asia adalah tempat atlet bertaraf B. Semua pelumba standard A bersaing di Eropah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 4:59 PM