Pelumba basikal muda DCA teruja dapat asah bakat dalam Kejohanan TSS Criterium Challenge. FOTO Malik Muhamad
Pelumba basikal muda DCA teruja dapat asah bakat dalam Kejohanan TSS Criterium Challenge. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun kali pertama menyertai Kejohanan TSS Criterium Challenge di Litar Permotoran Terengganu di Gong Badak, baru-baru ini, ia ternyata meninggalkan kesan mendalam buat pelumba basikal muda kelab Darulnaim Cycling Akademy (DCA).

Selain dapat turun ke gelanggang kejohanan selepas lebih setahun tidak bertarung kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19, pengalaman berlumba di litar permotoran itu cukup berharga buat mereka.

"Saya dah lama tidak berkayuh dalam kejohanan kompetitif, aksi pada kejohanan ini dalam kategori junior begitu manis buat saya.

"Selain dapat menimba pengalaman berharga beraksi di luar negeri, saya juga dapat melihat secara lebih dekat lagi pelumba sensasi negara seperti pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh, Nur Aiman Mohd Zariff dan ramai lagi beraksi di sini," kata Muhamad Amirul Abdullah, 14, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut, Pasir Puteh, Kelantan.

Rakannya, Amar Danish Nazrul Hisham, 16 juga akui turut gembira dapat memperagakan bakatnya di luar Kelantan selepas kerajaan membenarkan rentas negeri.

"Bukan kemenangan dicari pada kejohanan ini, tapi lebih penting dapat menimba pengalaman selain dapat berentap dengan pelumba junior seluruh negara," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Penolong Pengarah Sweet Nice Continental (SNC), Hisham Ab Halim yang membawa pelumba DCA ke kejohanan itu berkata, penyertaan kali pertama 16 pelumba kelab berkenaan dalam kejohanan itu adalah sebagai pendedahan awal skuad pelapis.

"Selepas sekian lama tidak menyertai kejohanan kompetitif, aksi di Terengganu menjadi medan terbaik buat pelumba muda untuk meningkatkan lagi prestasi kayuhan mereka selain dapat menimba pengalaman baharu," katanya.

Kejohanan edisi kedua anjuran Kelab Speda Sentral dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Persatuan Lumba Basikal Terengganu serta AirAsia Malaysia itu menampilkan 500 pelumba seluruh negara yang membabitkan sepuluh kategori.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 9:45 PM