SAYUTI Zahit. FOTO NSTP
SAYUTI Zahit. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Selepas terkuburnya Team Sapura Cycling (TSC) kerana tidak mampu meneruskan perjuangan berikutan ketiadaan penaja, pengurus pasukan itu, Sayuti Zahit memilih untuk berehat seketika daripada arena sukan berbasikal negara.

Berjaya melahirkan beberapa nama besar dalam sukan berbasikal antaranya Nur Aiman Zarif yang muncul pelumba Malaysia pertama menyarung Jersi Merah (Raja Bukit) di Le Tour de Langkawi (LTdL) pada 2020, Sayuti memaklumkan bahawa dia tidak mempunyai sebarang perancangan ketika ini.

Malah ketika ditanya sama ada dia berminat untuk menjadi jurulatih kebangsaan ekoran kejayaannya ketika diamanahkan tugas sebagai jurulatih skuad lebuh raya di Sukan Sea Kemboja yang lalu membuahkan hasil sehingga membawa pulang emas menerusi Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dalam acara lepas beramai-ramai elit lelaki, Sayuti berkata dia tidak berminat dengan tugas itu.

"Untuk tugas sebagai jurulatih kebangsaan, saya tidak berminat sangat. Ia seperti kembali kepada asal.

"Sebagai contoh, untuk jadi jurulatih Malaysia tanpa ada dana yang mencukupi tiada gunanya," katanya.

Mengulas berdasarkan pengalamannya, dia yang pernah menjadi pelumba kebangsaan selain pernah bersama pasukan LeTua Cycling Team dari 2007 hingga 2009, untuk menjadi sebuah pasukan yang kompetitif memerlukan bajet yang mencukupi untuk bersaing.

"Peminat sukan ini boleh lihat sendiri, untuk level elit, ia sangat kompetitif dan perlukan duit untuk bersaing.

"Dari dulu sampai sekarang, untuk level junior Asia kita sama sebaris dengan negara Asia yang lain, sebab apa, sebab level junior belum lagi kompetitif, jadi sekali lagi saya tegaskan untuk berjaya kita perlukan dana yang cukup," katanya.

Dan cabaran skuad kebangsaan ketika ini adalah bagaimana untuk mempertahankan emas di Sukan Sea seterusnya apabila kita perlu bersaing dengan negara Asia Tenggara yang lain seperti Thailand, Filipina dan Indonesia.

Ini kerana berdasarkan rekod, ketika ini Thailand sedang mendahului negara kita dengan mempunyai tiga pasukan benua bagi lelaki dan satu pasukan benua wanita.

Diikuti dengan Indonesia dan Filipina, masing-masing mempunyai tiga pasukan benua berbanding Malaysia, hanya satu iaitu Terengganu Polygon Cycling Team (TSG).

Semalam Sayuti mengesahkan bahawa TSC kini dibubarkan selepas enam tahun bergelar pasukan benua negara ekoran penaja utama iaitu Sapura menamatkan penajaan pada Februari lalu.

Usaha untuk mendapatkan penajaan daripada syarikat korporat turut gagal malah lebih 500 syarikat yang dihubungi tidak berminat untuk menaja sukan berbasikal.

Antara pelumba yang digilap Sapura sepanjang enam tahun beroperasi adalah Zawawi Azman, Nur Aiman Rosli, Akmal Hakim Zakaria, Muhsin Al Redha Misbah, Saari Amri Abd Rasim, Shaiful Adlan Shukri, Yusri Shaari and Saari Amri Rasim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 2:26 PM