JAGUH berbasikal lebuh raya negara, Harrif (tengah) muncul juara Cabaran Kriterium TSS 2021 di Litar Permotoran Terengganu di Gong Badak hari ini. FOTO MALIK MdopinUHAMAD
JAGUH berbasikal lebuh raya negara, Harrif (tengah) muncul juara Cabaran Kriterium TSS 2021 di Litar Permotoran Terengganu di Gong Badak hari ini. FOTO MALIK MdopinUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Kejayaan ini bakal menambah motivasi dan semangat saya sebelum menyertai Jelajah Thailand hujung bulan depan," kata jaguh berbasikal lebuh raya negara, Harrif Saleh.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu ditemui selepas muncul juara kategori Pro Race Kejohanan Cabaran Kriterium TSS 2021 di Litar Permotoran Terengganu di Gong Badak, hari ini.

Pelumba berusia 33 tahun itu muncul juara selepas menumpaskan rakan sepasukannya, Wan Abdul Rahman Hamdan di tempat kedua manakala seorang lagi rakan sepasukannya, Irwandie Lakasek ketiga.

Mengulas lanjut, Harrif yang masih menanti panggilan untuk menyertai skuad berbasikal trek negara berkata, rakan sepasukan banyak membantunya pada kejohanan itu sebelum berjaya mempertahankan gelaran.

"Namun bukan mudah untuk merakam kemenangan pada hari ini pada aksi yang berlangsung selama 40 minit itu ditambah pula dengan cuaca panas," katanya.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, turut hadir Pengarah Bukan Eksekutif AirAsia Berhad, Datuk Abdul Aziz Bakar.

Pengerusi penganjur, Mohd Rijaluddin Mohd Hamdan berkata, kejohanan edisi kedua itu berjaya menarik lebih 500 peserta seluruh negara yang membabitkan sepuluh kategori termasuk junior.

Selain itu, kejohanan ini berjaya mencungkil ramai bakat muda dari seluruh negara termasuk Perak, Johor, Kelantan dan Terengganu 'berkampung' sehari di Litar Permotoran Terengganu itu.

"Kejohanan anjuran Kelab Speda Sentral (TSS) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Jabatan Belia Sukan Negeri dan Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) serta AirAsia Malaysia berjaya mencapai objektif dan sasaran.

"Insya-Allah kita akan jadikan acara ini sebagai kejohanan tahunan bagi mencungkil lebih ramai lagi bakat muda yang mampu menggalas tugas negara satu hari nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 7:15 PM