PELUMBA negara warnai saingan LCC Series di Bali minggu depan.  FOTO/MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
PELUMBA negara warnai saingan LCC Series di Bali minggu depan. FOTO/MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
Azlan Muhammad Zain

JUNIOR Cycling Malaysia (JCM) meneruskan lagi usaha memberi pendedahan antarabangsa kepada pelumba remaja apabila bakal menghantar 10 pelumba ke kejohanan Lomba Customs Cycling (LCC) Series di Bali minggu depan.

Ia adalah kali kedua JCM menghantar pelumba untuk menimba pengalaman antarabangsa selepas kali pertama di Jelajah Eropah Julai lalu selama sebulan.

Barisan pelumba terpilih dinilai jurulatih JCM menerusi siri kejohanan kriterium, lebuh raya dan trek anjuran JCM sepanjang 2016 dan 2017 yang menunjukkan prestasi cemerlang dan konsisten.

Mereka yang tepilih ialah Sanim Fitri Abdul Halim, Ibni Hissham Abd Raof, Justin Felix Nagel, Adam Haiqal Shairul Faizal, Afiq Iskandar Hasyim, Syazwan Amanie Asrul Afpendi, Faiz Shaiful Rizal, Nur Aiman Rusli, Nor Fahmie Mohammad Ismail Abdullah dan Keischmman Kumaresan.

Menurut Pengarah Pembangunan JCM, Graham Seers kejohanan LCC adalah peluang yang baik untuk pendedahan dan menguji pelumba terpilih kerana penganjuran kejohanan ini menyerupai Tour de France.

“Penyarung jersi kuning ditentukan menerusi kiraan masa terpantas untuk tiga acara berbeza selama tiga hari mengikut kategori masing-masing dan ia pendedahan yang baik untuk pelumba menimba pengalaman berharga.”

“Sudah pasti pelumba remaja di Indonesia tidak memberi laluan mudah selaku tuan rumah dan ia diharap tidak menggugat semangat pelumba untuk memberi saingan sengit. Secara tidak langsung menerapkan sifat ingin menang dalam kalangan pelumba” katanya dalam satu kenyataan.

Skuad pilihan JCM bakal bersaing dalam acara kriterium, lebuh raya dan ujian masa individu bagi kategori Lelaki B-17 Tahun dan Lelaki B-19 Tahun di LCC Series Bali yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 8 November hingga 10 November ini.

JCM adalah sebuah program pembangunan akar umbi hasil inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan misi membangunkan landskap sukan berbasikal negara dan menggilap bakat pelumba seterusnya melahirkan pelumba berprestasi tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 12:34 PM