SUHAILI  (duduk dua dari kiri) bersama barisan kepemimpinan MSC.
SUHAILI (duduk dua dari kiri) bersama barisan kepemimpinan MSC.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) bakal menjadi lebih 'kukuh' dengan penyertaan lebih ramai ahli gabungan sebaik saja pelan pembangunan (blue print) sukan sepak takraw siap sepenuhnya dalam masa terdekat ini.

Menurut presidennya, Datuk Suhaili Abdul Rahman, pelan untuk tempoh dua tahun itu turut akan dibentangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Pesuruhjaya Sukan (PJS), Majlis Sukan Negara (MSN) termasuk Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Apabila kami sudah menyiapkan pelan perancangan (blue print) pembangunan sukan sepak takraw ini, kita akan ada lebih ramai ahli gabungan dan MSC akan menjadi lebih kuat," katanya dalam majlis penyerahan sijil pengiktirafan daripada Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) secara maya, hari ini.

Pada 5 Mac lalu, Astaf mengesahkan MSC yang baharu ditubuhkan diterima menjadi ahli gabungan mereka berkuatkuasa serta merta selepas ia diputuskan secara sebulat suara dalam mesyuarat Eksekutif badan induk Asia itu.

Pada 20 Mei tahun lalu, Jawatankuasa Disiplin Astaf menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan selepas didapati bersalah susulan tindakan Presiden PSM ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail di atas kapisiti Timbalan Presiden Astaf menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada Februari.

Tindakan itu melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf seperti dimeterai 14 Mac 2008.

Susulan kemelut yang melanda PSM, enam bekas ahli gabungan badan induk itu memutuskan untuk menubuhkan entiti baharu dikenali sebagai MSC dan mendapat kelulusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS), bulan lalu.

Enam ahli gabungan yang menjadi tonggak penubuhannya MSC iaitu Persatuan Sepak Takraw Selangor; Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya; Persatuan Sepak Takraw Sarawak; Persatuan Sepak Takraw Perlis; Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah; dan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan.

"Buat masa ini, ada enam persatuan negeri bersama kami. Akan ada lagi tidak lama lagi menyertai kami sebagai ahli. Kami harap pada April nanti, kami dapat memperkenalkan lagi ahli kepada Astaf," kata Suhaili.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 9:18 PM