DATUK Markiman Kobiran. FOTO NSTP
DATUK Markiman Kobiran. FOTO NSTP
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Keahlian Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (Mastaf) dalam Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) tertakluk kepada pembubaran dan tindakan pembatalan dilakukan Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Timbalan Presidennya, Datuk Markiman Kobiran berkata, ketika ini Mastaf masih belum menerima apa-apa notis berhubung pembubaran badan induk itu oleh pihak PJS.

"Selepas tindakan selesai diambil oleh PJS, baharulah Mastaf hilang entiti sebagai badan induk di bawah undang-undang Malaysia.

"Sekarang ini Mastaf hanya menunggu notis pembubaran dari PJS, untuk urusan harta-harta dan laibiliti kita, bukan Istaf, bukan Halem Kadir," katanya.

Sebelum ini Istaf menerusi satu surat yang dihantar oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Abdul Halim Kader menyaran Mastaf mengambil tindakan segera mengadakan mesyuarat agung untuk membubarkan badan itu mengikut lunas perlembagaan.

Jelasnya, Ini bagi membolehkan Istaf dapat mengambil tindakan untuk melepaskan Mastaf dari ahli gabungan Astaf dan Istaf.

Dalam pada itu, Markiman meminta supaya Istaf tidak mencampuri sebarang masalah yang berkaitan dengan arena sepak takraw tempatan sehingga melebihi had bidang badan induk itu.

Sebaliknya Markiman berkata, PJS iaitu badan tertinggi sukan di negara ini diberikan kuasa untuk mengawalselia persatuan sukan di Malaysia.

"Saya nak tanya Halim Kader ini siapa? Siapa sebenar dia? Perdana Menteri Malaysia? Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia?

"Satu lagi sekiranya saya tidak patuh kenyataan dia adakah kita boleh dikenakan hukuman? Mengapa Istaf mencampuri urusan dalaman sepak takraw kita?

"Pada saya, dia tidak boleh langsung mencampuri kerana ini adalah isu antara Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan Mastaf," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 5:26 PM