HARRIF (tengah) menjuarai kategori utama Road Bike Pro. Foto Instagram harrif_saleh
HARRIF (tengah) menjuarai kategori utama Road Bike Pro. Foto Instagram harrif_saleh
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Bukanlah kemenangan semata-mata yang diintai kerana bagi pelumba berbasikal profesional negara Mohd Harrif Saleh peluang untuk kembali berlumba selepas hampir tujuh bulan menjadi pencetus semangatnya pada kejohanan Cabaran Kriterium TSS 2021 hujung minggu lalu.

Perlumbaan sehari anjuran bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Persatuan Lumba Basikal Terengganu dan Kelab Berbasikal TSS itu sepatutnya diadakan pada Februari lalu namun ditangguh kerana penularan wabak Covid-19 di seluruh negara.

Ia menarik minat seramai 500 pelumba dari seluruh negara. Selain Terengganu Cycling Team (TSG) yang diwakili Harrif, pasukan ternama negara Team Sapura Cycling (TSC), Sweet Nice Cycling (Kelantan), pasukan Sukma Perak dan Kelantan turut menghantar pelumba menyertai 10 kategori yang dipertandingkan.

"Sebenarnya saya dan pasukan berasa amat teruja kerana sudah lama tidak berlumba. Lagipun kami lihat banyak penyertaan luar dari pasukan yang hebat-hebat belaka. Jadi kami bertekad beraksi sebaik mungkin, menggunakan taktikal yang betul dan akhirnya kami berjaya.

"Kami juga tak sangka perlumbaan ini mendapat sambutan hangat daripada penonton dan penyokong. Memang ramai betul membanjiri tempat pertandingan untuk menyaksikan perlumbaan ini. Saya difahamkan ada penonton yang sanggup datang dari luar Kuala Terengganu malah dari negeri lain untuk memberikan sokongan," katanya.

Pelumba TSG menguasai kedudukan 1-2-3 perlumbaan kategori utama Road Bike Pro yang dijalankan secara 30 minit dan tambahan tiga pusingan di Litar Permotoran Terengganu Gong Badak, Kuala Nerus, yang juga menjadi gelanggang perlumbaan motosikal Cub Prix.

Sebagai juara, Harrif membawa pulang wang tunai 1,000, tiket penerbangan tajaan AirAsia dan pingat selepas mengatasi rakan sepasukan, Wan Abdul Rahman Hamdan dan Irwandie Lakasek.

"Ini perlumbaan di laman sendiri. Alhamdulillah rezeki kami, kadang-kadang rasa berdebar juga lumba kat kampung sendiri. Penonton datang dari jauh jemur tengah panas nak tengok kami berlumba. Terima kasih kerana sentiasa menyokong TSG," katanya.

Harrif juga berasakan pengorbanannya dan pelumba pasukan yang tidak jemu berkayuh hampir setiap hari antara dua hingga lima jam membawa pulangan yang berbaloi.

"Terima kasih banyak rakan sepasukan saya yang bekerja keras untuk memastikan podium milik TSG. Tanpa kerjasama sepasukan mungkin ia tidak menjadi kenyataan," katanya.

Pelumba berusia 33 tahun itu, yang pernah menjuarai tiga peringkat pada perlumbaan Le Tour de Langkawi, kali terakhir berlumba di Turki pada Tour of Mevlana, April lalu. Dua bulan sebelumnya dia melakar sejarah apabila memenangi perlumbaan sehari Grand Prix Velo Manavgat juga di Turki.

Lebih mengujakan, pasukannya dijadual menyertai Tour of Thailand yang bermula di Pattaya hujung bulan depan dan perlumbaan Cabaran Kriterium TSS itu boleh dianggap sebagai kejohanan pemanas badan buat mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 5:46 PM