Pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom
Pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Masih banyak yang perlu dilakukan oleh Olimpian negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom apabila impiannya untuk menjejakkan kaki di podium dalam acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2021 di Roubaix, Perancis tidak kesampaian.

Pelumba kelahiran Johor itu menamatkan saingan di kedudukan kelima saringan pertama yang dikuasai oleh juara dunia, Harrie Lavreysen dari Belanda dan Jai Angsuthasawit dari Thailand kedua.

Shah kemudiannya terpaksa bersaing di pusingan repechage saringan ketiga namun gagal untuk menamatkan saingan itu selaku juara sekali gus impian untuk mara ke peringkat akhir tidak kesampaian selepas menamatkan saingan di kedudukan ketiga, tewas kepada pelumba tuan rumah, Sebastien Vigier.

Melihat prestasi itu, penolong jurulatih negara, Harnizam Basri yang mengiringi dua pelumba negara ke Perancis itu berkata, Shah dilihat berlumba dengan berhati-hati bagi mengelakkan diri dari terjatuh atau berlanggar dalam perlumbaan itu.

"Saya lihat Shah berlumba secara konservatif. Mungkin bimbang terjatuh atau berlanggar. Apapun ini adalah perlumbaan pertamanya selepas Olimpik Tokyo yang mana prestasi dia tidak berada di tahap optimum selepas berehat hampir sebulan selepas Olimpik.

"Keadaan trek juga adalah berbeza di setiap venue. Setiap trek mempunyai ciri-ciri yang istimewa dan kali ini trek ini hanya dibuka untuk latihan sebelum pertandingan kerana protokol Covid-19.

"Apapun saya berharap dia dapat menyesuaikan diri dengan trek dan lebih bersedia dalam acara pecut nanti," katanya.

Shah memberi impak positif buat skuad negara ketika beraksi di temasya Olimpik yang lalu masih lagi mempunyai baki satu lagi acara iaitu pecut yang akan berlangsung esok.

Manakala seorang lagi wakil negara Muhammad Fadhli Zonis akan beraksi dalam acara 1 kilometer ujian masa lewat malam nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 1:36 PM