MUHAMMAD Shah Firdaus Sahrom. FOTO AZRUL EDHAM
MUHAMMAD Shah Firdaus Sahrom. FOTO AZRUL EDHAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Barisan pelumba trek negara yang beraksi dalam kempen Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Hong Kong menamatkan saingan tanpa sebarang pingat.

Hasrat mereka untuk memperbaiki pencapaian hari pertama tidak kesampaian apabila pelumba harapan negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom tewas pada pusingan pertama acara pecut.

Shah Firdaus gagal untuk menandingi kepantasan pelumba Perancis Sebastien Vigier.

Manakala adiknya, Muhammad Ridwan Sahrom terkandas di pusingan kelayakan apabila menduduki tangga ke-30 dengan catatan masa 10.027s.

Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley bagaimanapun berkata, prestasi kurang memberangsangkan oleh Shah Firdaus itu tidak boleh dipersalahkan apabila dia mengalami keracunan makanan pada malam sebelum berlepas ke Hong Kong.

"Melihat dari segi keputusan memang mengecewakan.

"Tapi Shah tidak bernasib baik sebab mengalami keracunan makanan pada malam sebelum kami berlepas ke Hong Kong. Dia sakit teruk selama dua hari sehingga hilang 5kg (kilogram).

"Perkara itu sedikit sebanyak mengganggu prestasinya untuk dia berikan yang terbaik selepas apa yang dialaminya," kata Beasley.

Semalam Shah Firdaus dan Ridwan turut gagal meraih pingat apabila tewas dalam acara keirin di pusingan pertama repechage.

Sementara itu, nasib yang sama turut dialami oleh Nurul Izzah Izzati Mohd Asri apabila tewas dalam acara keirin.

Dia menamatkan saringan ketiga pusingan pertama di kedudukan keempat dan menduduki tempat ketiga dalam pusingan pertama repechage.

Pusingan ketiga Piala Negara-Negara seterusnya akan berlangsung di Milton, Kanada dari 12 hingga 14 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 5:01 PM