NURUL Izzah hanya perlu berada dalam kedudukan tujuh teratas untuk kuota kelayakan Olimpik. FOTO AZRUL EDHAM
NURUL Izzah hanya perlu berada dalam kedudukan tujuh teratas untuk kuota kelayakan Olimpik. FOTO AZRUL EDHAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tiada yang mustahil untuk kembali melihat kelibat pelumba wanita beraksi di pentas Olimpik Paris dalam acara trek.

Peluang kini terbuka buat permata baharu negara dalam acara berbasikal yang diberi jolokan The Pocket Rocketwoman, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

Izzah hanya perlu menamatkan saingan di Piala Negara-Negara UCI di Milton, Kanada dari 12 hingga 14 April ini dalam acara keirin di hadapan pelumba Sepanyol, Hong Kong dan Republik Czech.

Ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley, berkata tiada yang mustahil untuk Izzah membuat penampilan pertama di Olimpik. "Kami sedang mempersiapkan Izzah untuk berada di tahap terbaik kerana sedang berusaha untuk layak melalui acara keirin.

"Izzah hanya perlu berada dalam kedudukan tujuh teratas untuk kuota kelayakan Olimpik, perlumbaan di Milton dan menamatkan saingan di depan Sepanyol, Republik Czech, Hong Kong, jika dia berada di depan mereka dia akan layak ke Olimpik Paris," kata Beasley.

Untuk rekod Malaysia berada di ranking ke-14 dalam acara keirin dengan 2254.5 mata di kalangan tujuh negara yang tidak layak bagi acara pecut berpasukan.

Bagaimanapun, Malaysia diekori rapat Sepanyol yang berada di kedudukan ke-15 (2185 mata) diikuti Hong Kong ke-16 (2176 mata) dan Republik Czech ke-17 (2173 mata) dan Poland ke-18 (2166 mata).

Slot akhir Olimpik akan ditentukan selepas tamat perlumbaan di Milton.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia mempunyai wakil wanita dalam berbasikal trek di pentas Olimpik adalah menerusi Fatehah Mustapa yang beraksi pada edisi 2016 di Rio de Janeiro.

Nurul Izzah sebelum ini mencipta sensasi apabila dia berjaya memenangi dua pingat emas dalam acara keirin dan 500 meter (m) ujian masa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India, Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 10:22 PM