HARNIZAM (dua dari kanan)  berpuas hati dengan prestasi Shah ketika pusingan kelayakan selepas menduduki ranking ke-11 berbanding tahun lalu di Berlin di tempat ke-14. FOTO Ihsan Facebook Malaysian Track Cycling
HARNIZAM (dua dari kanan) berpuas hati dengan prestasi Shah ketika pusingan kelayakan selepas menduduki ranking ke-11 berbanding tahun lalu di Berlin di tempat ke-14. FOTO Ihsan Facebook Malaysian Track Cycling
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Secara keseluruhan prestasi dua pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Zonis di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2021 di Roubaix, Perancis dianggap memuaskan.

Biarpun gagal menghadiahkan pingat buat negara, penolong jurulatih Harnizam Basri berpendapat, kedua-dia pelumba negara itu tetap berusaha memberi yang terbaik biarpun sedar tidak berada di kemuncak prestasi.

Mereka perlu berdepan dengan pelumba Eropah yang baru menyertai Kejohanan Berbasikal Elit Eropah dua minggu lalu berbanding pelumba negara yang hanya menjalani latihan semata-mata.

"Saya berpuas hati dengan prestasi Shah ketika pusingan kelayakan yang mana dia ranking ke-11 berbanding tahun lalu di Berlin dia di kedudukan ke-14. Pada perlumbaan pertama dia bertemu dengan Martin Cechman.

"Perlumbaan kedua dia menentang Jeffrey Hoogland dan Shah gagal mengawal perlumbaan dari sebelah atas membuatkan Hoogland terlebih dahulu membuat pecutan.

"Namun saya lihat Shah perlu lebih yakin untuk berfikir terutama ketika beraksi dalam keirin bagi mendapatkan kedudukan yang lebih selamat dan juga perlu menamatkan kedudukan di tempat lebih baik," katanya.

Terdahulu Shah Firdaus menamatkan saingan dalam acara pecut di kejohanan dunia di pusingan kedua, lewat malam tadi.

Pelumba berusia 26 tahun itu gagal mara ke suku akhir selepas tewas kepada pelumba Belanda, Jeffrey Hoogland yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada perlumbaan yang berlangsung di Velodrom Couvert Regional Jean-Stablinski.

Shah Firdaus mara ke pusingan pertama selepas menamatkan aksi kelayakan di kedudukan ke-11 dengan catatan 9.800 saat (s).

Pada Khamis lalu, Shah Firdaus turut gagal melangkah ke final acara keirin selepas terkandas di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 5:40 PM