John Beasley
John Beasley
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jurulatih berbasikal negara, John Beasley mengaku kecewa dengan prestasi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus terutama dalam acara keirin ketika beraksi di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2021 di Roubaix, Perancis, Ahad lalu.

Kejohanan di Paris itu dianggap bukan prestasi terbaik skuad negara di kejohanan dunia dan jauh dari prestasi terbaik Shah.

Biarpun begitu Beasley mengakui beliau belum mendapat maklum balas daripada pelumba dan penolong jurulatih, Harnizam Basri yang mengiringi Shah Firdaus dan Muhammad Fadhil Zonis ke Perancis.

"Sejujurnya saya sangat kecewa dengan aksi Shah dalam acara keirin kerana dia jauh lebih baik daripada apa yang dipamerkan ketika beraksi dalam acara itu.

"Mungkin kerana dia menempuh perjalanan yang panjang sebelum ke Olimpik Tokyo dan saya tahu semua itu di bawah tanggungjawab saya. Tapi untuk prestasi seperti itu dan ia jauh di bawah piawaian pasukan kita.

"Ini semua bukan mengenai kemenangan. Ia adalah mengenai cara anda melaksanakan tugas dan melakukan yang terbaik dan apa yang dipamerkan Shah itu sebenarnya jauh daripada prestasi terbaiknya," katanya.

Begitupun beliau berharap Shah tidak patah semangat kerana perjuangan perlu diteruskan dan misi seterusnya adalah temasya Sukan Komanwel dan Asia. Ditanya mengenai perancangan terhadap kedua-dua pelumba negara itu, Bealsey berkata, mereka diharapkan dapat kembali ke Melbourne untuk menjalani latihan bersama-sama beberapa lagi atlet yang lain sehingga akhir Mei ini.

Ia adalah persediaan untuk menghadapi dua temasya besar itu sebelum segala program basikal negara kembali berpangkalan di Malaysia hujung tahun ini.

Untuk rekod Shah gagal melepasi saringan dan gagal dalam pusingan repercharge dan hanya menamatkan saingan dalam acara pecut di pusingan kedua.

Manakala Fadhli terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di kedudukan ke-14 daripada 23 pelumba yang mengambil bahagian dengan catatan satu minit 01.589 saat dalam acara 1 kilometer ujian masa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 3:23 PM