Mohd Rafiq (dua kanan)  menyempurnakan sambutan Hari Sukan Negara peringkat Negeri Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
Mohd Rafiq (dua kanan) menyempurnakan sambutan Hari Sukan Negara peringkat Negeri Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pelbagai jenis sukan dianjurkan membabitkan kira-kira 25,000 peserta sempena Hari Sukan Negara (HSN) peringkat negeri bermula hari ini hingga Isnin.

Pengerusi Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, antara aktiviti sukan dianjurkan termasuk kayak dan berbasikal.

Katanya, sukan elektronik yang menjadi kegemaran anak muda pada masa kini turut diadakan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menurutnya, aktiviti sukan terbabit juga dianjurkan menerusi saluran maya dan fizikal dengan pendekatan norma baharu berikutan situasi semasa yang masih berdepan pandemik Covid-19.

"Sasaran membabitkan penyertaan kira-kira 25,000 peserta sekali gus membentuk kesinambungan generasi sihat dan cergas dalam kalangan komuniti dalam masa sama menyemai semangat perpaduan kaum.

"Sehubungan itu kerajaan negeri menyeru kepada semua untuk bersama-sama membantu mempromosikan semangat Malaysia Cergas dan melahirkan warga Melaka yang aktif dan mengamalkan budaya hidup sihat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali merasmikan Hari Sukan Negara 2021 peringkat negeri di Kompleks Japerun Serkam, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Td Kamel Mohamad dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Noorman Ramlan serta Pegawai Daerah Jasin, Rahizi Ranom.

Beliau berkata, walaupun berdepan cabaran pandemik namun dia yakin amalan gaya bersukan tetap menjadi keutamaan menerusi pendekatan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 6:40 PM