KOK KIEW menyampaikan beg sekolah kepada petugas MPAG pada Perhimpunan Bulanan MPAG di Dewan Bandaran, Alor Gajah.
KOK KIEW menyampaikan beg sekolah kepada petugas MPAG pada Perhimpunan Bulanan MPAG di Dewan Bandaran, Alor Gajah.
Hassan Omar


KERAJAAN negeri Melaka mengarahkan empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu menyediakan lori tangki untuk mengagihkan air kepada penduduk susulan catuan bekalan air berjadual mulai Rabu depan.

PBT terbabit diarah membantu Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB) menghantar air ke pusat pengagihan air di kawasan tertentu dan bukannya membekalkan air dari rumah ke rumah seperti dilakukan SAMB ketika masalah gangguan bekalan air pada September lalu.

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew berkata, tiada satu daerah atau kawasan yang terkecuali daripada menjalani catuan, kecuali hospital, kawasan industri dan pusat pelancongan.

“Ada empat PBT di negeri ini dan semuanya diarahkan membantu menyediakan lori tangki untuk menghantar air kerana berdasarkan catuan itu, tiada bekalan air mulai jam 10 pagi Rabu depan.

“Bagaimanapun, keesokannya air akan dibekalkan semula mulai jam 10 pagi hingga 10 malam dan bekalan air akan dicatu semula pada jam 10 pagi Jumaat 31 Januari tetapi pada Sabtu dan Ahad, air akan dibekalkan semula,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) di Dewan Bandaran Alor Gajah tadi.

Hadir sama, Yang Dipertua MPAG, Zamzuri Ariffin; Pegawai Daerah Alor Gajah, Rahizi Ranom dan Jurutera Daerah Alor Gajah, Hafrin Salleh.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas sampai bila catuan itu akan dilaksanakan.

Beliau berkata, bekalan air akan kembali dicatu mulai waktu yang sama pada 3 Februari, 5 Februari dan 7 Februari depan manakala 4 Februari, 6 Februari dan 8 Februari serta 9 Februari bekalan air berjalan seperti biasa.

Katanya, PBT juga diminta menyediakan petugas untuk membantu penduduk, terutama penghuni rumah pangsa untuk mengangkat air, apatah lagi jika mereka warga emas yang terpaksa turun naik tangga atau lif semata-mata untuk mengangkut air.

Sehubungan itu beliau meminta anggota komuniti supaya berjimat-cermat menggunakan air dan tidak membazirkan air sama ada ketika ada bekalan air atau ketika air dicatu berikutan penyusutan air di Empangan Durian Tunggal, Empangan Jus dan Empangan Asahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 6:19 PM