VP Shanmugam (dua dari kiri) ketika Majlis Perasmian Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2021 dan Penyampaian hadiah kepada enam pemenang Anugerah Perdana Belia Negara 2021 di di Ayer Keroh, malam tadi. FOTO NAZRI ABU BAKAR
VP Shanmugam (dua dari kiri) ketika Majlis Perasmian Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2021 dan Penyampaian hadiah kepada enam pemenang Anugerah Perdana Belia Negara 2021 di di Ayer Keroh, malam tadi. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kerajaan negeri memohon pelaksanaan pindaan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun dilanjutkan kepada tempoh dua tahun akan datang.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan, VP Shanmugam berkata, ia perlu dilanjutkan susulan situasi pandemik yang dialami negara sejak 2020 sekali gus menyukarkan sebarang pertemuan secara bersemuka bagi menyediakan pelapis belia berkaliber dalam menerajui kepimpinan pada masa hadapan.

Justeru katanya, ia perlu dilanjutkan kerana memerlukan masa bagi menghasilkan kepimpinan belia yang cemerlang dan berwibawa untuk mengambil alih pucuk pimpinan golongan berkenaan.

"Saya mohon kalau boleh ada pertimbangan, bagilah dua tahun. Tahun ini adalah 2021, sepatutnya pada tahun hadapan Januari 2022 kita kena amalkan (pindaan berkenaan), jadi saya mohon ia dilanjutkan sehingga 2023.

"Kita akan menyediakan belia yang betul-betul berkaliber. Dalam masa dua tahun ini, kita mampu menyediakan belia untuk ambil alih pucuk pimpinan ke arah kecemerlangan," katanya selepas Majlis Perasmian Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2021 dan Penyampaian hadiah kepada enam pemenang Anugerah Perdana Belia Negara 2021 di di Ayer Keroh, tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad, Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) DatukMohd Ridhwan Tun Mohd Ali dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Noorman Ramlan.

Beliau berkata menerusi konsep 1: Had Umur Setara Piawaian Antarabangsa seperti yang terkandung dalam Dasar Belia Malaysia mengurangkan jurang generasi dan mempercepat proses kematangan belia Malaysia juga dilihat berbeza dengan negara barat lain.

"Di Malaysia dengan negara-negara barat adalah dua senario yang berbeza. Saya rasa ini singkat tetapi akta sudahpun dilulus (jadi) kita tidak mempunyai kuasa (kerana) kita adalah pengamal," katanya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan di Parliman berhubung pelaksanaan individu untuk memegang jawatan dalam persatuan belia diturunkan dari 40 tahun kepada 30 tahun mulai Januari 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 4:55 PM