Pelumba negara dan TSG, Harrif Saleh. FOTO File NSTP
Pelumba negara dan TSG, Harrif Saleh. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pintu sentiasa terbuka kepada Harrif Saleh jika dia benar-benar membulat tekad untuk kembali beraksi dalam acara berbasikal trek sekali gus berusaha layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley berkata, beliau sendiri bersedia untuk menilai kemampuan Harrif sekiranya jaguh berbasikal lebuh raya negara itu mahu mencuba nasib berlatih di bawah bimbingannya.

"Pendapat saya ialah semua pihak dialu-alukan tampil. Saya tidak mendengarnya daripada Harrif sendiri, jadi saya tak tahu apa sebenarnya yang ingin dilakukannya?

"Jika dia mahu mewakili Malaysia dalam acara trek, akan ada sesi pemilihan untuk melakukannya. Kami mengalu-alukan kepada sesiapa sahaja di sesi pemilihan itu nanti dan kemudian kami berpeluang untuk menilai prestasi mereka," katanya ketika dihubungi.

Jelas Beasley, bukan soal dia boleh memberi peluang kepada Harrif untuk kembali semula beraksi dalam acara berbasikal trek, sebaliknya terpulang kepada Harrif untuk menentukan hala tuju kariernya.

"Dia perlu membuktikan kata-katanya. Bercakap memang mudah, nasihat saya kepada Harrif ialah tunjukkan apa yang anda mampu? Daripada situ kami akan menilai kemampuannya dan yang terbaik akan mewakili Malaysia.

"Saya tidak mempunyai atlet pilihan, tidak bias kepada mana-mana negeri di Malaysia. Saya berada di sini untuk memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia mewakili skuad kebangsaan. Saya menantikan Harrif di mana-mana acara trek yang akan datang," katanya.

Harrif menerusi laporan Arena Metro sebelum ini meluahkan keinginan untuk kembali beraksi dalam acara trek bagi mengintai peluang beraksi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Pelumba sensasi Terengganu Cycling Team (TSG) itu sedia keluar perbelanjaan sendiri selain melaungkan keyakinan mampu menjadi pencabar utama kejohanan dalam dewan itu jika diberi peluang kedua serta latihan mencukupi.

Sebelum beralih ke acara lebuh raya bermula 2010, Harrif adalah pelumba trek dan pernah berlatih bersama Datuk Azizulhasni Awang di bawah kendalian Beasley.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 10:21 PM