ATLET Kanada, Damian Warner menang pingat emas acara decathlon di Tokyo 2020 dengan mencatatkan rekod baharu Sukan Olimpik, hari ini, FOTO EPA
ATLET Kanada, Damian Warner menang pingat emas acara decathlon di Tokyo 2020 dengan mencatatkan rekod baharu Sukan Olimpik, hari ini, FOTO EPA
AFP

Tokyo: Atlet Kanada, Damian Warner mempamerkan aksi konsisten selama dua hari untuk menang emas acara decathlon di Olimpik Tokyo 2020, hari ini, dengan menjadikan gangsa di Rio 2016 sebagai motivasi.

Warner menamatkan 10 disiplin dalam acara dua hari itu dengan mencipta rekod Sukan Olimpik iaitu 9,018 mata manakala pemegang rekod dunia dari Perancis, Kevin Mayer bangkit untuk menang perak dengan 8,726 mata.

Peserta Australia, Ashley Moloney merangkul gangsa dengan 8,649 mata.

"Ini memang gila," kata Warner. "Sejak kecil, saya duduk menyaksikan acara trek dan padang serta Sukan Olimpik Musim Sejuk bersama ibu saya.

"Apabila berada di gred 6, saya menulis di dalam projek sekolah menyatakan mahu bertanding di temasya Olimpik satu hari nanti dan siapa sangka, saya kini pemenang emas di Sukan Olimpik."

Warner berkata: "Saya cukup yakin dengan diri sendiri. Di Olimpik Rio 2016 ketika menduduki tempat ketiga, walaupun gembira berada di atas podium, saya kecewa kerana tidak berada di tempat lebih tinggi.

"Jadi, saya gunakan pengalaman pada 2016 untuk menghasilkan prestasi yang dilakukan pada dua hari ini.

"Ia berbaloi dan saya bangga serta gembira dengan diri sendiri, pasukan dan semua orang yang menyokong saya selama ini."

Warner menamatkan hari pertama persaingan acara decathlon, semalam di kedudukan teratas dan meninggalkan Mayer yang bergelut dengan kesakitan belakang, di tempat kelima.

Warner, 31, adalah atlet pilihan selepas menamatkan kedudukan di lima teratas pada enam kejuaraan dunia dengan menang gangsa di Olimpik Rio 2016, selain perak di kejuaraan dunia 2015 serta gangsa di kejuaraan dunia 2013 dan 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 11:11 PM