SHELLY pelari kedua terpantas dalam sejarah 100 meter wanita.
SHELLY pelari kedua terpantas dalam sejarah 100 meter wanita.
AFP

Tokyo: Atlet 'pocket rocket' Jamaica, Shelly-Ann Fraser-Pryce mahu mengukuhkan reputasinya sebagai ratu pecut terpantas berstatus ibu dalam misi memburu pingat emas Olimpik ketiga acara 100 meter, 13 tahun selepas kemenangan pertamanya.

Pelari berusia 34 tahun itu yang hanya berketinggian 1.52 meter dijangka bersaing sengit di Tokyo dengan rakan senegara Elaine Thompson-Herah dan juara dunia 200 meter dari Britain, Dina Asher-Smith.

Jaguh Amerika Syarikat (AS), Sha'Carri Richardson tidak menyertai acara 100m di Jepun selepas didapati positif marijuana ketika kejohanan kelayakan Olimpik AS.

Shelly meraih emas Olimpik pertamanya di Beijing 2008 dengan muncul atlet Jamaica pertama mejuarai acara 100m selepas gagal dilakukan generasi sebelum ini termasuk Merlene Ottey dan Juliet Cuthbert.

Dia memenangi gelaran dunia pertamanya pada 2009 sebelum kariernya terjejas susulan digantung enam bulan akibat positif pengambilan bahan terlarang.

Shelly mengekalkan gelaran 100m Olimpik di London 2012 tetapi gagal mencipta hatrik di Rio 2016 apabila meraih gangsa di belakang Elaine.

Dia kemudiannya melahirkan anak tetapi kembali bergaya dengan gelaran dunia keempat pada 2019 selain meraih emas 4x100m yang juga emas kesembilan kejohanan dunia.

Ratu pecut veteran Jamaica itu datang ke Tokyo dengan reputasi menakjubkan selepas mencatat 10.63s yang dilakukan pada Jun lalu untuk muncul pelari 100m wanita kedua terpantas dalam sejarah selepas legenda AS, Florence Griffith Joyner yang mencatat 10.49s.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 9:01 AM