AHMAD Ismail dikenakan hukuman gantung 17 tahun oleh Astaf. FOTO Owee Ah Chun
AHMAD Ismail dikenakan hukuman gantung 17 tahun oleh Astaf. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail berkemungkinan akan berdepan dengan hukuman di peringkat antarabangsa.

Selepas digantung selama 17 tahun oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf), Ahmad atau dikenali dengan panggilan Tok Mat itu mungkin akan turut dihadapkan ke Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di atas beberapa kes yang dilakukan olehnya.

Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader tidak menolak perkara itu dengan badan induk sepak takraw antarabangsa itu kini sedang dalam proses penelitian berhubung tindakan yang mungkin akan dikenakan terhadap Ahmad.

"Istaf berkemungkinan akan turut menghukum Ahmad Ismail dalam masa terdekat ini. Tuduhan itu kini sedang diperhalusi.

"Selepas Astaf, Istaf juga menjatuhkan hukuman kepada beliau. Ia membabitkan kes yang dilakukan oleh beliau sendiri," katanya.

Terdahulu Halim yang juga Presiden Astaf mengesahkan badan induk Asia itu mengekalkan hukuman penggantungan 17 tahun kepada Ahmad daripada terbabit sebarang aktiviti sepak takraw di peringkat tempatan dan antarabangsa kekal biarpun Ahmad mengemukakan surat rayuan.

Ahmad mengemukakan surat rayuan Khamis lalu dan ia sudah melewati tarikh asal rayuan yang tamat pada 20 Mei lalu.

Justeru hukuman terhadap Ahmad kekal hingga 2038.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 6:48 PM