Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader
Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) akan mengheret Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail ke mahkamah Astaf selepas badan induk itu gagal mengemukakan surat tunjuk sebab di atas kesalahan disiplin yang didakwa terhadap mereka.

Presiden Astaf, Datuk Halim Kader memaklumkan perbicaraan tatatertib terhadap Ahmad Ismail akan berlangsung pada 5 Mei ini jam 2 petang menerusi aplikasi Zoom.

Tegas Halim, sekiranya Ahmad Ismail atau dikenali dengan panggilan Tok Mat itu tidak menghadirkan diri, perbicaraan akan tetap diteruskan bagi mendengar dan membincangkan mengenai tuduhan yang dikenakan terhadap beliau.

Dalam perkembangan yang sama, Halim berkata, pembabitan pasukan sepak takraw negara di temasya Sukan Sea Vietnam tidak akan terjejas berikutan isu penggantungan PSM namun mereka tidak dibenarkan untuk menyertai Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand pada Oktober ini di Bangkok.

Ia kerana penyertaan di kejohanan itu membabitkan negara ahli gabungan Astaf dan (Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf).

"Untuk ke Sukan Sea tiada masalah. Pemain Malaysia boleh beraksi di bawah tiket MOM (Majlis Sukan Negara) seperti kes taekwondo yang mana persatuan kebangsaannya dibatalkan pendaftaran oleh Pesuruhjaya Sukan tetapi kemudian masih boleh ke temasya sukan dengan tiket MOM.

"Sebenarnya kami tidak mahu menghukum pemain atas kesalahan yang bukan mereka lakukan. Kami mengerti bahawa mereka tidak wajar dijadikan 'korban' hanya kerana perbuatan pegawai persatuan.

"Istaf hanya menggantung PSM, sebuah persatuan dan segala aktiviti contohnya penganjuran pertandingan buat sementara sehingga mereka dihadapkan ke satu perbicaraan.

"Itu pun sekiranya mereka bekerjasama dengan baik dalam menjawab pertuduhan kami dalam tempoh 14 hari dan mampu meyakinkan Istaf.

"Kami masih mempunyai pertimbangan dan budi bicara tertentu sekalipun mungkin sudah jelas terbukti bersalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 8:19 PM