GATLIN mahu menaiki podium di Tokyo. FOTO EPA
GATLIN mahu menaiki podium di Tokyo. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Pelari pecut veteran Amerika Syarikat (AS), Justin Gatlin berusaha untuk meraih satu lagi emas Olimpik di temasya berkenaan tahun ini di Tokyo dan selepas itu tidak berhasrat untuk meneruskan kariernya sehingga usia 40-an.

Atlet berusia 39 tahun itu akan menjadi pelari paling tua memenangi pingat di Olimpik jika dia berjaya menaiki podium di temasya berkenaan yang tertangguh sebelum ini akibat Covid-19.

Selepas seterunya Usain Bolt bersara dan penyandang juara 100 meter (m) dunia, Christian Coleman digantung daripada menyertai Olimpik Tokyo selepas gagal menjalani tiga ujian doping, Gatlin berkata dia percaya masih mempunyai peluang realistik.

"Saya berharap dapat melakukannya. Disebabkan itulah saya masih aktif. Saya gemar berada dalam skuad Olimpik namun bukan hadir sebagai penumpang.

"Saya mahu bekerja keras dan mampu menaiki podium sekali lagi. Saya berharap tahun ini ia menyebelahi saya," katanya.

Gatlin memenangi emas 100m di Athens 2004 namun terlepas aksi di Olimpik 2008 kerana penggantungan akibat menggunakan bahan terlarang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 9:28 PM