Justin Gatlin. FOTO File Agensi
Justin Gatlin. FOTO File Agensi
AFP

JAGUH pecut veteran AS, Justin Gatlin berkata dia menjadikan bintang NFL, Tom Brady sebagai inspirasi dan merancang mengambil bahagian pada Olimpik Tokyo yang ditunda kepada tahun depan.

Atlet berusia 38 tahun muncul juara 100m Olimpik 2004, sebelum ini sudah mengambil keputusan untuk menggantung kasut pada temasya sukan di Tokyo tahun ini, yang ditangguhkan kelmarin berikutan pandemik koronavirus (Covid-19).

Gatlin memberitahu kepada TMZ Sports penangguhan itu membolehkan dia merancang karier lariannya, dengan mengakui dia mahu kembali ke pentas saingan pada 2021.

“Sasarannya adalah untuk bersaing di Olimpik musim panas 2021,” kata Gatlin.

“Saya fikir ramai orang memikirkan masa saya sudah berlalu atau pertembungan membabitkan atlet lebih umur dalam situasi ini dan ia jauh dari realiti.”

Gatlin akan berusia 39 tahun jika Olimpik Tokyo berlangsung musim panas tahun depan berkata dia berharap akan mengikut contoh Brady.

Juara enam kali Super Bowl, Brady, 42, yang baharu sahaja menandatangani kontrak bersama Tampa Bay Buccaneers selepas 20 tahun di New England, berkata dia mahu bermain sehingga pertengahan umur 40-an.

Gatlin berkata Brady menjadi contoh untuk dia bersikap optimis terhadap karier lariannya.

“Semua berita mengenai Tom Brady menjadi perhatian ketika ini, ia memberikan saya harapan untuk mengatakan ‘Ya sekarang, mungkin usia 40 tahun Justin Gatlin di trek adakah ia menjadi sesuatu yang gila.’

“Tidak ada banyak beza berusia 38 kepada 39 tahun. Tapi, saya sentiasa berkata saya tidak akan berlari sehingga berusia 40 tahun.

“Saya amat tegas pada diri sendiri tanpa tidak berlari sehingga berusia 40 tahun. Sekarang ini kelihatan saya semakin menghampiri 40, dan saya akan terus berlari.”

Karier Gatlin terjejas dengan isu doping kontroversi apabila atlet Amerika itu digantung dua kali kerana kesalahan dadah yang menyebabkan dia terlepas aksi Olimpik 2008.

Dia memenangi mahkota 100m Kejohanan Dunia 2017 dan menjadi sebahagian pelari kuarter lelaki 4x100m yang memenangi emas di kejohanan Dunia di Doha pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 11:33 AM