MARKIMAN Kobiran.
MARKIMAN Kobiran.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Sebanyak 10 persatuan sukan sepak takraw negeri yang keluar daripada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menegaskan bahawa mereka tidak sesekali kembali bersama badan induk ini.

Presiden Persatuan Sepaktaraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran berkata, persatuan berkenaan tetap dengan tekad untuk menubuhkan entiti baharu yang tidak mempunyai kaitan dengan PSM.

Katanya, jika benar PSM menerusi pemangku presidennya, Datuk Akramudin Aziz mahu mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM), Markiman berkata, mereka tidak akan menghalang.

"Nak buat AGM buatlah. Kalau dia (Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail) nak miliki PSM, duduklah. Kami tetap akan keluar dan buat persatuan baharu yang lebih profesional dan akan buang terus perlembagaan lama.

"Tapi saya menggalakkan daripada adakan AGM, eloklah AGM itu sendiri setuju bubarkan PSM. Saya cadangkan kepada Akramudin untuk panggil enam persatuan yang tinggal itu untuk buat usul bubarkan PSM," katanya.

Tegasnya apa yang berlaku ketika ini dalam PSM adalah berpunca daripada PSM itu sendiri. "Kami keluar dari PSM sebab apa, sebab PSM itu lubuk masalah. Memang tak boleh dipulihkan lagi dengan perlembagaan yang berat sebelah. Perkara itu sudah lama diajukan dan buat aduan tapi tiada tindakan. Sekarang dah keluar baru nak cerita ajak berunding. Ia sudah terlambat.

"Ahmad Ismail dengan ego yang tidak mahu mengalah. Ego sampai tak mahu bela diri dan hadir untuk sesi perbicaraan disiplin. Tak hantar wakil untuk bela PSM. Semua ini ego, sombong tak bertempat. Ketika PSM dilucutkan dari Astaf ( Persekutuan Sepak Takraw Asia) baru nak ajak berunding," katanya.

Terdahulu Astaf menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan badan induk itu berkuat kuasa serta-merta selepas didapati bersalah susulan tindakan Ahmad Ismail atau dikenali dengan Tok Mat di atas kapasitinya sebagai timbalan presiden Astaf menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 24 Februari lalu.

Ia dilihat melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Tok Mat dalam satu sesi perbicaraan secara maya pada 5 Mei lalu turut dikenakan penggantungan 15 tahun oleh Astaf dan didenda AS$25,000 (RM102,937) atas beberapa pertuduhan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 9:22 PM