NOR Affendy (kiri) bersama Saifol Mualim (tengah).
NOR Affendy (kiri) bersama Saifol Mualim (tengah).
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Legenda berbasikal lebuh raya negara, Nor Effandy Rosli berharap suatu hari nanti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mampu melahirkan pelumba bertaraf antarabangsa.

Beliau yang meraih perak di Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 berkata, harapannya itu bakal direalisasikan menerusi kerjasama antara syarikat disertainya, Mahsuri Oreca Sdn Bhd bersama Koperasi Kakitangan Felda Malaysia Berhad (FELKOP).

"Di samping menjadi pembekal basikal kepada FELKOP, syarikat juga akan memberi nilai tambah kepada pembeli dengan menganjurkan beberapa siri perlumbaan 'Fun Ride' sekali gus mengenalpasti bakat terpendam dimiliki anak Felda untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi," katanya ketika ditemui Majlis Perjanjian Membekal Basikal FELKOP dan Mahsuri Oreca Sdn Bhd di Menara Felda hari ini.

Ujarnya, sasaran berkenaan sangat realistik disebabkan Felda terdapat di seluruh negara. "Kalau kita bermula dengan 'Fun Ride' dan buat perlumbaan selepas itu, takkan daripada 10 orang tida ada seorang pun bintang. Apapun, kita baru hendak bermula, daripada situ (menerusi Fun Ride), kita akan kenalpasti pelumba yang boleh diketengahkan," katanya. Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Mahsuri Oreca Sdn Bhd, Saifol Mualim Ahmad Yahaya berkata, kerjasama bersama FELKOP ini secara tidak langsung membantu mereka mendekati rakyat dalam usaha menyampaikan mesej gaya hidup sihat.

"Program gaya hidup sihat ini salah satu misi syarikat yang kita bawa untuk mendekati rakyat di samping menggalakkan pihak korporat untuk sama-sama membantu terutama kepada mereka yang kurang berkemampuan.

"Kalau dilihat, wujud peningkatan dalam aktiviti berbasikal iaitu lebih kurang lima peratus setiap tahun. Jadi di sini, kita mengambil peluang, bukan saja untuk ketengahkan aktiviti ini di peringkat bandar tetapi juga di luar bandar.

"Selama ini, kami buat di bandar saja seperti di Langkawi, Ipoh, Sepang, Port Dickson dan sebagainya. Selepas ini dengan adanya kolaborasi dengan pihak koperasi, kami boleh mendekati (warga Felda) menerusi program kita rancang bersama koperasi mengikut lokasi (Felda).

"Kami mempunyai perancangan bersama FELKOP, namun tarikhnya itu masih belum dapat ditetapkan lagi. Mungkin pada bulan Julai kita akan buat Fun Ride manakala Fun Run pada Ogos bersama pihak koperasi sebagai salah satu program CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat) dan selepas itu menganjurkan siri jelajah," kata Saifol.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 11:46 PM