PELEPASAN peserta NST C- Cycle Challenge 2018. FOTO Aswadi Alias
PELEPASAN peserta NST C- Cycle Challenge 2018. FOTO Aswadi Alias
Aliza Shah; Masriwanie Muhamading; Beatrice Nita Jay dan Dawn Chan

 

MEMPROMOSIKAN gaya hidup sihat dan menggalakkan keluarga menghabiskan masa berkualiti melalui aktiviti sukan.

Ini adalah objektif penganjur New Straits Times (NST) NST C-Cycle Challenge 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Datuk Seri Abdul Jalil Hamid berkata, program itu, yang memasuki tahun kedua, bukan sekadar memperlihatkan kehebatan dan kebolehan penunggang basikal semata-mata.

Sebaliknya, ia untuk merapatkan hubungan antara ahli keluarga dan anggota dalam komuniti.

"Idea di sebalik program ini adalah untuk mempromosikan kehidupan sihat. Kami mahu menggalakkan orang ramai untuk berjinak-jinak dengan sukan berbasikal," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta kategori Century Ride dan Fun Ride di Eco Sanctuary, Kota Kemuning, hari ini.

ANTARA peserta Fun Ride sempena NST C- Cycle Challenge 2018. FOTO Luqman Hakim Zubir
ANTARA peserta Fun Ride sempena NST C- Cycle Challenge 2018. FOTO Luqman Hakim Zubir

Acara pelepasan itu turut disempurnakan Pengerusi Yayasan Eco World Foundation, Tan Sri Lee Lam Thye; Ketua Pegawai Operasi Eco World Development Group Bhd, Datuk Sundarajoo Somu; Pengurus Besar Bahagian Eco World Development Group Bhd, Ho Kwee Hong; Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib dan Pengarang Eksekutif NST, Muzli Mohd Zin.

Abdul Jalil berkata, bilangan peserta amat menggalakkan pada kali pertama cabaran itu diadakan tahun lalu dan trend sama dilihat pada tahun ini dengan penyertaan hampir 1,200 penunggang tempatan dan antarabangsa.

"Bersama-sama dengan Eco World Development Group Bhd, kami berharap agar acara ketiga akan dianjurkan tahun depan dan ia akan menarik lebih ramai penunggang," katanya.

Dikatakan antara acara berbasikal terulung negara, edisi kedua NST C-Cycle Challenge menyaksikan penunggang menyertai kategori 160km Century Ride dan 35km Fun Ride.

Abdul Jalil berkata, penganjur bercadang untuk memperkenalkan kategori ketiga tahun depan dengan peserta melalui cabaran di laluan antara 70km hingga 75km.

ANTARA peserta Century Ride NST C-Cycle Challenge 2018. FOTO Luqman Hakim Zubir
ANTARA peserta Century Ride NST C-Cycle Challenge 2018. FOTO Luqman Hakim Zubir

Tahun ini, cabaran itu menyaksikan sebanyak 28 pasukan penunggang profesional termasuk Pasukan Berbasikal Terengganu, Pasukan Berbasikal Angkatan Keselamatan, Pasukan PDRM G Cycling dan Pasukan Armaniz Cycling mengambil bahagian.

Pada masa sama, ramai penunggang amatur dan profesional turut mengambil bahagian dalam cabaran hari ini termasuk dalam kalangan pengurusan kanan syarikat korporat dan industri.

Sekurang-kurangnya 12 peneraju industri menyertai cabaran itu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Bhd Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid; Pengarah Urusan Sysmex Malaysia Sdn Bhd Albert Tan, Timbalan Ketua Eksekutif (Korporat) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datin Azlaily Abd Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Enfiniti Vision Media Sdn Bhd Engku Emran Engku Zainal Abidin, dan blogger Datuk Ahirudin Attan.

Abdul Jalil berkata, beliau berpuas hati dengan maklum balas positik daripada peserta, walaupun acara itu terpaksa ditunda dari tarikh asalnya pada Mei lalu.

Penunggang turut berpeluang menikmati laluan yang indah dan mengagumkan membabitkan kawasan pesisir pantai dan berbukit.

Antara laluan berkenaan adalah Persiaran Rimbayu, Jalan Johan Setia-Jalan Klang Banting-Jalan Chodoi, Jalan Morib-Tanjung Sepat-Jalan Sepang dan Jalan Sijangkang Utama.

PESERTA NST C-Cycle Challenge 2018 mengambil makanan ketika melalui Sungai Pelek. FOTO Aswadi Alias
PESERTA NST C-Cycle Challenge 2018 mengambil makanan ketika melalui Sungai Pelek. FOTO Aswadi Alias

Sementara itu, Lam Thye berkata, beliau gembira dapat bekerjasama dengan NST dalam satu lagi projek komuniti.

Beliau berkata, Eco World juga sangat komited dalam memainkan peranannya untuk mempromosikan gaya hidup sihat di negara ini. 

"Sebagai syarikat pemaju yang bertanggungjawab dan prihatin, kami sangat memberi tumpuan terhadap memainkan peranan kami dalam mempromosikan gaya hidup sihat. 

"Acara berbasikal popular di negara kita dan dengan menganjurkan acara ini, kami dapat mengumpulkan hampir 1,200 peserta tempatan dan luar negara. Kami sangat gembira dengan jumlah penyertaan itu," katanya. 

Pemenang pertama, kedua dan ketiga bagi Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita dan Terbuka Lelaki Senior masing-masing memenangi wang tunai RM2,500, RM1,500 dan RM1,000.

Bagi kategori Terbuka Pasukan, pemenang tempat pertama berpeluang membawa pulang wang tunai RM4,500, RM3,500 bagi tempat kedua dan RM3,000 untuk tempat ketiga.

Cabaran NST C-Cycle Challenge 2018 dianjurkan NST dengan kerjasama Eco World Development Group Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd sebagai sebagai bank rasmi selain syarikat pengimport dan peruncitan barangan sukan, Treknology Multisport Sdn Bhd sebagai penaja produk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 8:21 PM