MOHD Jazri (kanan) menunjukkan produk Mahsuri kepada Md Fuad  di Markas Logistik ATM.
MOHD Jazri (kanan) menunjukkan produk Mahsuri kepada Md Fuad di Markas Logistik ATM.

Kuala Lumpur: Sebagai penghargaan kepada petugas barisan hadapan, syarikat pengeluar kicap dan sos masakan Malaysia, Mahsuri Food Sdn Bhd (Mahsuri) menganjurkan jamuan makan khas untuk anggota tentera di Markas Logistik Tentera Darat, minggu lalu.

Program itu juga sempena Sambutan Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-87 dan penghargaan jasa serta bakti anggota tentera berkhidmat demi keselamatan dan kedaulatan negara.

Pengurus Komersil Mahsuri, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, program berkenaan dihadiri lebih 300 anggota tentera dengan kehadiran Panglima Logistik Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Md Fuad Abd Jalil.

"Ini sebahagian sebagai tanda ucapan terima kasih kepada anggota tentera khususnya anggota logistik yang bertanggungjawab dalam menguruskan bantuan logistik kepada barisan hadapan ATM dalam memerangi pandemik Covid-19.

"Kami di Mahsuri yang sudah bertapak dalam pasaran Malaysia sejak 1990-an berterima kasih kepada barisan hadapan, jadi kita belanja mereka makan tengah hari dengan hidangan istimewa hasil daripada produk sos masakan dan kicap keluaran Mahsuri iaitu Mee Goreng Pedas Mahsuri dan Nasi Goreng Mahsuri serta hidangan sampingan pula adalah keropok lekor dan ayam popcorn bersama sos tiga rasa," katanya ketika ditemui pada majlis penghargaan yang diadakan di Markas Logistik ATM, Jalan Padang Tembak di sini.

Mohd Jazri berkata, pihaknya menyumbangkan 200 botol kicap dan sos Mahsuri kepada anggota tentera yang hadir dan menganjurkan promosi khas pada harga istimewa untuk produk Mahsuri.

"Pengiktirafan ini sebagai kempen program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami kepada komuniti dan hari ini kita bersama komuniti ATM," katanya.

Sementara itu, Md Fuad berkata, pihaknya berterima kasih kepada Mahsuri kerana menyediakan jamuan penghargaan kepada warga logistik tentera darat sempena sambutan ulang tahun ATM ke-87 pada tahun ini dan berharap usaha itu akan diteruskan pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 4:28 PM