Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail
Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang berikutan kontroversi pemilihan Kongres Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) yang berlangsung semalam.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, tindakan itu kemungkinan diambil selepas berbincang dengan beberapa badan induk sepak takraw negara lain sekali gus bagi memastikan pemilihan kongres dapat dilaksanakan dengan lebih telus.

Beliau berkata, terdapat beberapa perkara yang dilihat pada pemilihan kongres menimbulkan tanda tanya termasuk haknya dalam pemilihan berkenaan dinafikan.

"Saya cukup pelik apabila pemilihan kongres pada kali ini tidak dijemput untuk menyertainya malah terpaksa menggunakan alternatif lain supaya dapat menyertai sidang video semalam.

"Sudahlah saya tidak menerima sebarang surat jemputan berkaitan pemilihan terbabit dan lebih buruk lagi pada sidang video tidak dibenarkan untuk bersuara atau mempertahankan diri.

"Perkara terbabit (tindakan undang-undang) akan diambil apabila turut dicadangkan oleh ahli anggota lain namun sebelum itu akan berbincang bersama pihak peguam terlebih dahulu," katanya.

Semalam, Datuk Abdul Halim Kader terus mengekalkan jawatan nombor satu dalam Astaf bagi penggal 2021-2025 selepas menerima 30 undian pada kongres yang dilakukan secara dalam talian.

Keputusan terbabit sekali gus menyaksikan Ahmad gagal merebut jawatan terbabit selepas beliau mengambil keputusan saat akhir untuk bertanding.

Selain Ahmad, Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura, Mohd Nasri Haron turut kempunan menyandang jawatan terbabit dan ini bermakna Halim dilihat masih lagi mendapat kepercayaan mengemudi badan induk sepak takraw Asia itu.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, Charlem Chaiwatcharaporn dari Thailand memperoleh 30 undian manakala Yogender Singh Dahiya (India) meraih 29 undian untuk masing-masing memegang jawatan berkenaan.

Sementara itu, Ahmad berkata beliau tidak sedih atau kecewa gagal dipilih menyandang jawatan nombor satu dalam Astaf, namun mahu pemilihan terbabit dilakukan dengan lebih sistematik tanpa sebarang unsur mencurigakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 10:19 PM